PESTABOLA Merdeka bakal kembali buat julung kalinya apabila pertandingan berkenaan akan menyaksikan penyertaan India, Tajikistan serta Harimau Malaya.
Aksi yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu dijangka akan disaksikan ribuan penyokong bola sepak tanah air.
Manakan tidak, kejayaan dalam Pestabola Merdeka edisi kali ke-42 bakal melonjak kedudukan negara dalam ranking FIFA dengan mereka kini berada di tangga ke-134.
Tidak cukup dengan itu, pertandingan terbabit sememangnya memiliki tempat istimewa dalam hati orang ramai memandangkan ia merupakan salah sebuah kejohanan cukup nostalgik.
Penganjuran Pestabola Merdeka kali ini pastinya mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air. — Facebook/FAM
Hal itu dapat disaksikan ketika kali terakhir Pestabola Merdeka dianjurkan pada 2013 apabila skuad kebangsaan muncul juara semasa di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Ketika itu, Harimau Malaya yang diwakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara mengungguli pertandingan ringkas terbabit setelah menundukkan Myanmar dalam perlawanan akhir.
Pencapaian membanggakan tersebut diraih dengan kehadiran pemain muda berkualiti, namun memiliki personaliti yang tidak boleh dipandang remeh.
Walaupun hampir kesemua daripada mereka kini tidak lagi beraksi dengan aktif, masih terdapat sebilangan daripada skuad berkenaan yang masih meneruskan karier dalam Liga Super.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pemain daripada Pestabola Merdeka 10 tahun lalu yang kini masih bergiat aktif dengan pasukan masing-masing.
1. Junior Eldstal
Melihat kepada skuad yang dipanggil Kim Pan-gon kali ini, Junior Eldstal merupakan satu-satunya pemain yang mewakili negara ketika edisi Pestabola Merdeka yang lalu.
Dalam kejohanan 10 tahun lalu itu, bek tengah yang kini berusia 32 tahun berkenaan sempat menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir untuk mengesahkan kejayaan skuad kebangsaan.
Walaupun jarang meraih penampilan di peringkat kelab, pemain pertahanan tersebut jarang menampilkan persembahan tidak bermaya setiap kali menyarung jersi Harimau Malaya.
Junior Eldstal merupakan satu-satunya pemain yang beraksi dalam Pestabola Merdeka 2013 yang dipanggil Pan-gon untuk edisi kali ini.
Jadi, tidak hairanlah apabila namanya masih tersenarai untuk kejohanan edisi ke-42 ini dengan pengalamannya pasti akan ditagih ketika berdepan India nanti.
Berdasarkan pendekatan taktikal yang sering diambil Pan-gon, terdapat kemungkinan Eldstal hanya akan dibawa masuk pada penghujung permainan.
Ini kerana jurulatih dari Korea Selatan terbabit sering menggunakan gandingan Dominic Tan, Matt Davies serta Dion Cools seperti mana kerap digunakan dalam perlawanan sebelum ini.
Tetapi, pemain yang kini berada di Dewa United itu sudah tentu akan terbuka untuk menerima peranan tersebut memandangkan dia cukup memahami situasinya yang kurang meraih minit permainan.
2. Wan Zack Haikal Wan Noor
Satu ketika dahulu, Wan Zack Haikal Wan Noor pernah diangkat sebagai salah seorang pemain tengah muda terbaik negara dengan bakatnya cukup bersinar, lebih-lebih lagi bersama Harimau Malaya.
Reputasinya itu sudah cukup untuk mendesak supaya kelab kecil dari Jepun, FC Ryukyu untuk mendapatkan khidmatnya, sekali gus mengangkatnya sebagai salah seorang pemain negara yang berani melebarkan sayap ke luar negara.
Kebolehannya berkenaan menyaksikan namanya tersenarai dalam skuad Pestabola Merdeka 2013 dengan Wan Zack memainkan peranan cukup penting ketika itu.
Bagaimanapun, beberapa tahun selepas itu, karier anak jati Maran, Pahang tersebut berdepan cabaran apabila dia beberapa kali mengalami kecederaan serius.
Wan Zack diangkat sebagai pemain paling bernilai dalam Pestabola Merdeka 2013. — Facebook/Team Malaysia
Masalah tersebut menyebabkan namanya kian lesap dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air dengan ramai berpendapat pemain berkenaan akan menamatkan tahun-tahun permainannya tidak lama lagi.
Namun, ketabahan serta kesungguhan Wan Zack membuahkan hasil apabila pemain lincah tersebut kembali berada di prestasi terbaiknya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).
Dalam 13 penampilannya dalam Liga Super, pemain berusia 32 tahun tersebut sudah menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan.
Tetapi, sumbangannya lebih dihargai ketika membantu Perak FC mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia apabila dia menyumbat gol penting dalam saingan separuh akhir berdepan Sabah FC.
Meskipun dia tidak dipanggil untuk Pestabola Merdeka kali ini, kebolehannya ketika ini sudah pastinya tidak boleh dipandang remeh penyokong bola sepak tanah air.
3. Fadhli Shas
Selepas tiba di Sri Pahang FC dari Johor Darul Takzim (JDT) secara pinjaman, karier Fadhli Shas kembali bersinar apabila namanya terus diangkat penyokong pasukan Pantai Timur itu.
Langkah terbabit boleh diangkat sebagai titik perubahan buatnya memandangkan dia sebelum ini bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama skuad Tok Gajah.
Situasi berkenaan sekali gus menyebabkan penyokong bola sepak mula melupakan khidmatnya bersama Harimau Malaya, termasuk ketika Pestabola Merdeka 2013.
Dia yang ketika itu beraksi bersama skuad Harimau Muda A memiliki kelebihan dari segi fizikal serta kelantangannya bersama rakan sepasukan.
Fadhli (mengenakan jersi no 4) merupakan bekas pemain penting buat skuad muda Harimau Malaya sebelum ini. — Facebook/Team Malaysia
Kecemerlangannya ketika kejohanan tersebut sekali gus menyaksikan khidmatnya ditagih skuad Harimau Selatan yang segera bertindak menyambar khidmatnya tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, lambakan pemain pertahanan tempatan mahupun import menyaksikan bek tengah berusia 32 tahun berkenaan lebih kerap diletakkan di bangku simpanan sebelum dihantar ke skuad simpanan JDT.
Nasibnya kemudiannya berubah musim ini apabila dia beraksi dengan cukup baik bersama Sri Pahang FC yang kini berada di tangga keempat Liga Super.
Sumbangannya juga dilihat cukup penting buat pasukan kendalian Fandi Ahmad memandangkan skuad Tok Gajah memiliki rekod pertahanan ketiga terbaik dalam liga ketika ini.
Perkara berkenaan sudah cukup untuk meletakkan Fadhli Shas sebagai salah seorang bintang yang pernah bersinar dalam Pestabola Merdeka 10 tahun lalu dengan kecemerlangan tersebut diteruskan sehingga hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram