Legenda Liverpool ukir nama wakili Malaysia, jadi kapten skuad Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Kevin Keegan menyarung jersi Liverpool dari tahun 1971 hingga 1977. — Agensi

SEJARAH bola sepak Malaysia menyaksikan pelbagai kelab atau negara Eropah pernah berkunjung ke Malaysia untuk aksi persahabatan dan antara pasukan terkenal ialah Liverpool, Manchester United dan Villareal.

Selain perlawanan persahabatan dengan kelab terkemuka, arena bola sepak Malaysia juga pernah menyaksikan seorang bintang Liverpool pernah menyarung jersi kebangsaan.

Pemain yang dimaksudkan ialah Josep Kevin Keegan iaitu penyerang yang pernah mewarnai kelab terkemuka seperti Liverpool, Hamburger SV dan Southampton pada suatu ketika dahulu.

BACA LAGI: Lupakan SSA, Selangor FC boleh ikut cara kelab Sepanyol naik taraf stadium MBPJ

BACA LAGI: [VIDEO] Kesilapan Jalil buat Syria 'menangis' berdepan Australia dalam Piala Asia

Penyerang kelahiran Doncaster, England itu difahamkan menerima undangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing dan bermain bersama pasukan pelapis negara yang diberikan nama Harimau Malaysia bagi Pestabola Merdeka 1984.

Ketika itu, khabar angin mengatakan bahawa Kevin Keegan dibayar sebanyak RM150,000 oleh FAM bagi mengembalikan kegemilangan Pestabola Merdeka dan menarik penyokong menyokong pasukan kebangsaan.

Kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun berkenaan melibatkan 12 pasukan dengan Malaysia telah menghantar dua pasukan iaitu Malaysia dan skuad muda negara iaitu Harimau Malaysia.

kevin keegan

Kevin Keegan menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan Harimau Malaysia. — Agensi

Kejohanan yang berlangsung selama hampir sebulan itu turut disertai oleh negara seperti Papua New Guinea, Liberia, Indonesia, Thailand, Pakistan, China B, Korea Selatan B-23, Algeria B-20, Pilihan Argentina (kelab) dan Pilihan Brazil (kelab).

Kevin Keegan yang mesra dengan panggilan mesra 'Mighty Mouse' itu membantu Harimau Malaysia menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga kumpulan B, di belakang Korea Selatan Bawah 23 tahun dan China B.

Kali terakhir nama Kevin Keegan meniti di bibir penyokong tanah air apabila dia dikatakan antara calon pengganti Tan Cheng Hoe selepas pengendali kelahiran Kedah itu dipecat pada musim 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram