Rakan baik Faisal Halim seru semua fans Selangor imbas kod QR ketika aksi tanpa penyokong lawan JDT


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Penyokong Selangor diminta bersatu hati membantu kelab yang dihukum MFL.

SELANGOR FC terpaksa membayar harga mahal kerana tidak hadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih apabila mereka didenda oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada Selasa, MFL mengambil keputusan mendenda Selangor sebanyak RM100,000 serta dipotong tiga mata kerana tindakan tersebut.

Selain itu, Gergasi Merah turut dihukum perlu membayar ganti rugi kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan perlawanan antara kedua-dua kelab di Kelana Jaya perlu diadakan tanpa penyokong.

BACA LAGI: Selangor kaji saluran, mahu ambil tindakan selepas dihukum MFL

BACA LAGI: 'Liga badut, sarkas' mula penuhi wall peminat

piala-sultan-selangor-2019-2-500x333

Penyokong Selangor diseru bersatu membantu kelab membayar denda dikenakan MFL.

Namun begitu, tindakan Selangor berbuat demikian adalah kerana mereka ingin menjaga keselamatan para pemain dan pegawai selepas isu Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu. Sebagai rekod, aksi Piala Sumbangsih dijadualkan pada 10 Mei.

Melihat kepada hukuman berat diberikan oleh MFL, penyokong Selangor bertindak menunjukkan sokongan padu mereka terhadap kelab dengan ingin membantu Gergasi Merah.

Individu bernama Danial Mazalan hadir dengan cadangan bijak dengan meminta Selangor menyediakan kod QR ketika perlawanan menentang JDT di Kelana Jaya untuk membolehkan mereka memberikan sumbangan.

Ini sedikit sebanyak dapat membantu Selangor membayar denda yang akan dikenakan oleh MFL.

"Salam Selangor FC, game yang kami tak boleh masuk tu, letak saja kod QR akaun kelab. Kami akan bayar tiket perlawanan tu. Duit tu nanti boleh buat bayar saman, kita ada dengan anda," cadang Danial yang merupakan rakan baik Faisal.

ADUN Selangor tawar potong gaji

Sifat solidariti yang ditonjolkan oleh penyokong Selangor turut diikuti oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu yang mahu membantu kelab.

Dua ADUN iaitu Izuan Kasim (Kota Damansara) dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) atau dikenali sebagai Altimet sedia untuk membantu Selangor.

Izuan sedia untuk menyumbang separuh gajinya sementara Altimet ingin memberikan wang royalti diperolehnya tahun ini kepada Selangor.

"Sebagai anak jati Selangor, aku sanggup sumbang separuh daripada gaji bulan depan (Julai) untuk Selangor bagi membantu untuk denda dikenakan pada pasukan Selangor," kata Izuan.

"Saya akan sumbangkan separuh kutipan royalti harta intelek saya tahun ini untuk bantu bayar denda ini, jika Selangor FC sudi," ujar Altimet. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram