Misi 35K jadi senjata Sabah FC pamer kebangkitan lepas dimalukan Sang Penyu


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jun 2024

Sabah tumpas 0-4 kepada Terengganu pada aksi pertama suku akhir Piala FA. — Sabah Football Club

SABAH FC terpaksa menelan keperitan selepas mereka kalah 0-4 kepada Terengganu FC dalam suku akhir pertama Piala FA yang diadakan pada Jumaat.

Walaupun Terengganu hadir dengan tanpa ramai pemain termasuklah jurulatih, Tomislav Steinbruckner akibat dijangkiti wabak Covid-19, tetapi tuan rumah tetap mempamerkan persembahan berkualiti untuk dibawa ke aksi timbal balik.

Gol oleh Manny Ott, Marin Pilj serta jaringan berganda Ismaheel Akinade memberikan kemenangan selesa buat Terengganu.

BACA LAGI: Masalah dalaman punca Sabah FC terduduk di Terengganu?

BACA LAGI: Masalah gaji antara 3 sebab Sabah mungkin 'tenggelam' aksi Piala FA lawan TFC

Selain daripada persembahan berkualiti, mereka turut didukung dengan sokongan padu lebih 15,677 penyokong yang datang memberikan sokongan.

Ia jelas memberikan kelebihan buat Terengganu hingga berjaya membuatkan para pemain Sabah tunduk layu di tempat lawan.

Melihat kepada situasi tersebut, penyokong-penyokong Sabah memasang sasaran untuk memenuhkan Stadim Likas, Kota Kinabalu apabila Terengganu bertandang untuk aksi timbal balik.

Stadium berkapasiti 35,000 tersebut mahu dipenuhi oleh pendukung Sang Badak bagi memastikan Terengganu dapat ditewaskan sekali gus membuka jalan buat Sabah ke separuh akhir.

"Jadi warga Sabah, kasi penuh stadium, orang Kota Kinabalu jadi kasi malu. Ultras Sabah pun janganlah seciput yang datang. Selalunya Ultras Sabah ni tenggelam dengan suara teriakan perempuan di stadium," kata Family Joy.

"Kalau di Terengganu penyokong boleh datang sampai lebih 15,000, kenapa di Likas penyokong Sabah tak boleh sampai lebih 15,000? Mari sokong Sabah dengan penuhkan Stadium Likas," ujar laman Keningau Football Association.

"Kehadiran penonton (di Terengganu) adalah 15,000+, kita kasi balik mereka 18,000 di Stadium Likas, lawan saja, nothing to lose sudah kita. Kelamahan ketara kita selama ini adalah langsung tidak high pressing pihak lawan, masa menyerang pula kurang tajam, masa bertahan tidak mendekati pihak lawan," komen Michael Lai.

Ramai yang beranggapan masalah dalaman berkenaan kewangan menjadi punca mengapa persembahan Sabah begitu longlai berdepan Terengganu.

Dengan timbal balik akan dilangsungkan pada 6 Julai, skuad Datuk Ong Kim Swee perlu sekurang-kurangnya memberikan persembahan melawan apabila beraksi di depan penyokong sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram