Selangor FC masih boleh merayu — MFL


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Stuart mendedahkan bahawa Selangor FC memiliki akses kepada proses rayuan.

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, Selangor FC masih mempunyai peluang untuk mengemukakan surat rayuan atas hukuman dikenakan terhadap mereka.

Ia susulan selepas MFL menghukum Selangor dengan empat jenis hukuman iaitu denda sebanyak RM100,000 serta pemotongan tiga mata.

BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ

BACA LAGI: Selangor kaji saluran, mahu ambil tindakan selepas dihukum MFL

WhatsApp Image 2024-06-26 at 1.20.17 PM

Selangor dipotong tiga mata selepas gagal hadir ke Piala Sumbangsih. — Agensi

"Perkara ini masih berada dalam proses perundangan dan pasukan Selangor memiliki akses kepada proses rayuan.

"Jadi, Selangor atau mana-mana pasukan yang menghadapi denda sebegini diharapkan dapat membawa perkara ini ke peringkat seterusnya iaitu peringkat rayuan," katanya.

Stuart yang ditemui dalam majlis pecah tanah Pusat Latihan Kebangsaan (NTC), Presint 5, Putrajaya pada Rabu berkata, tempoh empat hari maksimum diberikan untuk Selangor mengemukakan rayuan sebelum dokumen akan diteliti.

Tambahnya lagi, selepas proses rayuan berkenaan badan rayuan akan bersidang untuk meneliti perkara tersebut yang dijangka memakan masa hampir sebulan.

”Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat, jikalau daripada empat perkara tersebut perlu kepada satu atau dua perkara dipertimbangkan semula, maka boleh diambil daripada badan rayuan.

"Pasukan Selangor bagaimanapun mempunyai tiga atau empat hari untuk mengemukakan surat rayuan dan selepas itu badan akan meneliti dokumen yang relevan dan akan bersidang mungkin dua hingga empat minggu," ujarnya.

Terdahulu, MFL membuat keputusan untuk menghukum Selangor kerana tidak menghadirkan diri dalam perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mei lalu.

Empat hukuman telah dikenakan termasuklah larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang skuad Harimau Selatan dalam perlawanan ke-14 liga nanti selain denda berupa wang dan pemotongan mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram