KDN FC mahu terus biasakan diri menang selepas ‘pecah telor’ — Rezal Zambery


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 28 Jun 2024

Rezal berterima kasih kepada penyokong kerana masih menaruh kepercayaan kepada pasukan selepas tiga kekalahan dalam liga. — Facebook/KDNFC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

ADA perbezaan besar di antara persepsi terhadap pasukan yang kalah berturut-turut dan skuad yang sudah mengecap kemenangan seperti yang didapati oleh penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya, dan pemain-pemainnya.

Bukanlah sangat mereka sentiasa menghadapi cemuhan dalam empat kekalahan berturut-turut sebelumnya, cuma mereka mendapat dorongan semangat daripada penyokong di mana sahaja – dari padang latihan hinggalah ke kedai-kedai makan.

“Ia memberikan kami satu perasaan yang sama-sekali berbeza,” kongsi Rezal dengan Bola Pegun. “Ia baru hanya satu kemenangan tapi sambutan yang diterima menjadi dorongan untuk kami mengulanginya berkali-kali lagi selepas ini.”

BACA LAGI: 'Rembau most wanted', bintang Arsenal tak pasti boleh beraksi bersama Harimau Malaya atau Jamaica

BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi' Malaysia dikesan di Kampar

WhatsApp Image 2024-06-28 at 19.08.07 (1)

Kelantan Darul Naim menarik nafas lega apabila berjaya meraih tiga mata penuh buat julung kalinya dalam saingan Liga Super 2024 selepas menewaskan PDRM FC. Facebook/KDNFC

Dijenamakan semula daripada Kelantan United yang menduduki tangga ketiga terbawah daripada 14 pasukan musim lalu, KDN FC tidak menjangkakan cabaran akan dipermudahkan buat mereka musim ini – dengan liga yang dikurangkan kepada 13 pasukan bermakna mereka akan bermain kurang dua perlawanan.

Dari sudut berbeza, ia juga bermakna mereka akan kekurangan dua perlawanan sebagai peluang menghimpun mata, dengan setiap satu perlawanan yang dilalui harus lebih dihargai berbanding mensia-siakannya.

Cabaran mereka tidak bermula dengan nota kemenangan apabila tewas 0-1 kepada Sri Pahang FC di Temerloh pada 11 Mei, disusuli oleh kekalahan 2-3 kepada Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 17 Mei.

Kunjungan ke Kuala Terengganu pada 24 Mei menyaksikan mereka longlai dengan kekalahan 0-3 dan seterusnya disingkirkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0 dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada 15 Jun.

Perlawanan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV bagaimanapun menyaksikan perubahan nasib apabila KDN FC mengukir kemenangan 1-0 ke atas PDRM FC hasil sepakan penalti pemain import dari Palestin, Oday Kharoub, pada minit ke-29.

WhatsApp Image 2024-06-28 at 19.08.08

Barisan pemain Kelantan yang meraikan kemenangan pertama aksi berdepan PDRM FC. Facebook/KDNFC

Itulah perlawanan yang menyaksikan mereka, dalam loghat Kelantan “pecah telor”, selepas kemenangan yang telah beberapa kali tertangguh.

“Sebenarnya tiada langsung keraguan dalam barisan kejurulatihan bahawa kemenangan akan diperoleh tanpa menunggu terlalu lama.

“Jika dilihat keputusan perlawanan terdahulu, kami tewas kepada Sri Pahang dan Sabah dengan perbezaan cuma satu gol.

“Kami (diketuai jurulatih Park Jae-hong) mengerah pemain supaya menggandakan usaha dalam latihan untuk mendapat habuan kemenangan pertama ini,” katanya.

Seperti diakui Rezal, KDN FC turut tidak terhindar daripada mengalami prestasi turun-naik hingga mendedahkan mereka sebagai pasukan yang tenggelam punca ketika kalah kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,Gong Badak, Terengganu.

“Lawan Terengganu memang kita main teruk, tak tau apa jadi dalam perlawanan tu. Masa buat analisis video dengan pemain-pemain selepas balik ke Kota Bharu, seluruh pasukan rasa tak perform.

“Harap-harap tak akan ada banyak game yang kami bermain seteruk itu,” tambahnya.

WhatsApp Image 2024-06-28 at 19.08.09

Oday yang menunjukkan isyarat dua jari muncul wira selepas membantu KDN FC tundukkan PDRM FC di Kota Bharu. Facebook/KDNFC

Sekembali daripada kekalahan kepada JDT, barisan kejurulatihan dilaporkan menerima amaran keras daripada presiden kelab, Rozi Muhamad, menjelang aksi menentang PDRM FC.

“KDN FC memandang serius keputusan setiap perlawanan. Bagi saya, sudah cukup untuk pihak jurulatih belajar daripada perlawanan sebelum ini. Mereka tentu sudah tahu apa kesilapan dan kelemahan pemain. Jadi, tiada lagi alasan selain mencatatkan kejayaan ke atas PDRM FC,” kata Rozi seperti yang dikongsikan di laman X rasmi pasukan.

Di sebalik amaran itu, kata Rezal, pemain-pemain sentiasa diterapkan dengan kesungguhan untuk mengejar tiga mata dalam setiap perlawanan.

“Matlamat kita sentiasa cari 3 mata. Kita dapat lihat kesungguhan pemain dalam latihan ketika tu bahawa kemenangan sudah semakin hampir.

“Setiap kali kalah, kita perlu bangkit. Ada momentum yang ditunjukkan pemain yang sentiasa tunjukkan nak menang. Faktor-faktor ini membantu dan syukurlah kami dapat kemenangan pertama ke atas PDRM,” tambahnya.

KDN

Barisan pemain Kijang Emas meraikan kemenangan mereka dengan isyarat dua jari dalam kemenangan 1-0 berdepan PDRM FC pada Ahad. — Facebook/KDNFC

Rezal juga berterima kasih kepada penyokong kerana masih menaruh kepercayaan kepada pasukan selepas tiga kekalahan dalam liga. Buktinya perlawanan dengan PDRM FC itu mencatatkan kehadiran 2,132 penonton, dengan jumlah kehadiran terbesar ialah 7,778 penonton ketika menentang Sabah FC.

“Saya perlu puji kesetiaan penyokong yang melihat kita boleh bangkit walaupun kita tak punya sebarang mata ketika itu. Ini menunjukkan penyokong masih menaruh harapan untuk melihat kami bersaing. Pada saya, musim ini kami ada kelainan.

“Pemain-pemain juga beritahu saya mereka berasa amat bersemangat melihat penyokong masih setia bersorak untuk pasukan. Mereka merasakan ia satu tanggungjawab untuk membalas kepercayaan yang ditunjukkan,” katanya.

Apakah impak daripada kemenangan sulung yang diperoleh?.

“Sangat positif dan pemain-pemain sangat bersatu sebagai sebuah pasukan. Kini mereka dapat mengecap nikmat kegembiraan bila menang dan terlepas daripada bebanan (tanggung kekalahan) sebelum ni.

“Seboleh-bolehnya selepas ini kami mahu terus biasakan diri dengan kemenangan,” kata Rezal lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram