AKSI suku akhir pertama Piala FA 2024 bakal menyaksikan pertembungan derbi Utara antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam perlawanan yang berlangsung pada Jumaat.
Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang sekali lagi akan menyaksikan pertembungan derbi Utara sama ada kemenangan milik tuan rumah ataupun pasukan pelawat.
Dalam perlawanan Liga Super 2024 pada 22 Jun lalu, Penang terpaksa berputih mata apabila jaringan tunggal yang dihasilkan oleh Ebenezer Assifuah berjaya memastikan Sang Kenari pulang dengan tiga mata penuh.
BACA LAGI: Kalau Selangor tarik diri, siapa nak cabar JDT?
BACA LAGI: [VIDEO] 'Messi' Malaysia dikesan di Kampar
Dalam pada itu, menjelang perlawanan epik tersebut, Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dijangka bakal mempertaruhkan beberapa muka baharu untuk menyekat serangan anak-anak buah Nafuzi Zain.
“Ada beberapa perubahan yang akan saya lakukan. Akan ada pemain baharu yang dibawa masuk dan akan ada perubahan posisi pemain dalam padang atau formasi.
“Jadi, saya harap dengan perubahan ini, kita akan lebih bersedia dan lebih tajam untuk menghadapi barisan pertahanan Kedah yang berpengalaman untuk menghasilkan jaringan," katanya dalam Nadi Bola.
Selepas meneliti setiap aspek perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan, Akmal bagaimanapun mahu mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi untuk mempertingkatkan aspek mentaliti masing-masing.
"Pemain sedar akan perkara tersebut dan kini mereka lebih bermotivasi untuk mendapat bekalan selesa untuk dibawa aksi kedua nanti.
"Kita tahu Kedah ada pemain yang berkualiti tapi kita nampak kelemahan Kedah baru-baru ini, jadi kita akan ambil kesempatan tersebut.
"Kita akan tajamkan lagi jentera serangan untuk menghasilkan gol," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram