Rafizi, Isham individu tepat berdebat, selesai polemik rasionalisasi subsidi bahan api — Penganalisis


  • Politik
  • Selasa, 25 Jun 2024

Rakyat masih tertunggu-tunggu debat antara Rafizi (kiri) dan Isham berhubung isu rasionalisasi subsidi.

CADANGAN debat antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil berpotensi untuk medan terbaik bagi menamatkan polemik yang timbul dalam politik negara termasuk dalam isu mengenai pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.

Penganalisis politik yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, kedua-dua pemimpin terbabit dilihat mempunyai kredibilti dan autoriti yang cukup baik bagi membincangkan perkara tersebut.

"Debat ini satu platform yang baik untuk semua pihak melihat dan mempertimbangkan fakta dan hujah daripada kedua-dua pihak daripada kita terus terperangkap di sebalik spekulasi dan polemik yang tak tentu berkenaan isu subsidi minyak ini terutamanya," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: BN siap sedia bertaruh 2 PRK DUN di DUN Kelantan, Selangor

BACA LAGI: Tak logik kalau ada negeri di Malaysia dakwa tidak pernah kena jajah — Pakar sejarah

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan debat antara kedua-dua pemimpin terbabit bagi membentangkan hujah dan jalan penyelesaian terhadap isu ekonomi negara ketika ini.

Isham pada Ahad memaklumkan beliau yang sedang menunggu persetujuan daripada Rafizi untuk debat berkenaan.

Terdahulu, beliau bertegas enggan muncul di program audio siar Yang Bakar Menteri (YBM) kerana tidak mahu mempopularkan siaran YouTube milik Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Menurut Isham, ketika ini, banyak pihak memaklumkan bersedia untuk menjadi hos bagi program debat terbuka namun mungkin kesibukan jadual Rafizi menghalang mereka bertemu empat mata.

Malah beliau sedia menerima jemputan pihak Majoriti jika dapat menyediakan platform atau gelanggang terbuka yang lebih adil.

photo1719293599

Audio siar YBM bersiaran setiap dua minggu sekali menampilkan Rafizi bersama tetamu yang mewakili semua lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, sebagai bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri merangkap mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, Isham dilihat mempunyai kredibiliti agak baik khususnya dalam membincangkan isu ekonomi.

Untuk rekod, Isham juga merupakan bekas pegawai di Unit Perancang Ekonomi yang ketika itu terletak di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Mujibu berkata, acara debat sedemikian sememangnya harus digalakkan dalam kalangan ahli politik dan rakyat di Malaysia memandangkan negara kini menuju ke arah politik lebih matang.

"Saya tidak nampak ini satu perkara yang tidak baik ketika negara menuju ke arah politik matang, Saya rasa budaya berdebat dan berwacana secara terbuka serta profesional sebegini harus bukan sahaja digalakkan, tapi dibudayakan dalam politik negara," ujarnya.

Menurut Mujibu, panel yang terlibat dalam debat termasuk ahli politik juga tidak seharusnya terlalu risau berhubung kesan acara sedemikian terhadap populariti dan sokongan orang ramai terhadap mereka.

Ini kerana jelasnya, platform terbabit sepatutnya dijadikan sebagai medium untuk memberikan pencerahan kepada orang awam berhubung sesuatu isu.

"Bagi saya hal berkait impaknya terhadap rating atau populariti pemimpin terlibat, ia tidaklah begitu memberi kesan kecuali penyokong parti yang arah sokongannya kita dah tahu cenderung ke mana.

"Tapi untuk pengundi atas pagar dan orang awam, saya yakin ini adalah peluang terbaik untuk memberikan pencerahan yang lebih baik kepada mereka di samping dalam usaha menampilkan hujah yang pelbagai dan alternatif," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram