Bukan pemain sahaja terpalit isu gaji, ada kakitangan terpaksa pinjam duit untuk 'survive'


  • Podium
  • Ahad, 09 Jun 2024

Difahamkan, pihak pengurusan Sabah FC sudah melangsaikan gaji untuk satu bulan sahaja. — Facebook/Sabah FC

KEMELUT dalaman menimpa Sabah FC yang dikatakan mengalami tunggakan gaji mencecah empat bulan kini semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong terutama selepas seorang bintang The Rhinos berkongsi keadaan semasanya.

Penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggil Apek berkongsi keadaan rumahnya yang tiada bekalan elektrik selepas mendakwa sudah lama tidak membayar bil berkenaan.

Pemain kelahiran Kelantan tersebut memuat naik video dipercayai sedang duduk di tangga rumahnya dengan memuat naik kapsyen 'Dunia umpama neraka hidup ibarat layang-layang'.

BACA LAGI: Misteri '4 jari' terjawab, Sabah alami tunggakan gaji sejak Mac — Sumber

BACA LAGI: [VIDEO] Kita mewarisi hutang-hutang lama, kena bayar sikit-sikit — Pengurus Sabah FC

"@Helm_sleh tiada elektrik, lama dah tak dibayar," jawab Khairul Fahmi ketika salah seorang peminat bertanya sama ada rumah bintang Sabah itu tiada bekalan elektrik di ruangan hantaran berkenaan.

Perkongsian dari penjaga gawang nombor satu Sabah itu jelas mengundang tanda tanya dalam kalangan penyokong mengenai nasib para pemain yang sudah berhempas-pulas untuk beraksi demi lencana di dada.

Menurut sumber Majoriti, nasib malang itu bukan hanya berlaku kepada para pemain kerana kakitangan juga turut mengalami situasi sama apabila dikatakan ada yang sampai meminjam wang untuk kelangsungan hidup.

"Pemain-pemain ada buat luahan mengenai isu gaji. Yang gaji besar (pemain) mungkin kurang merasai isu gaji ini.

"Tapi bagaimana dengan kakitangan seperti kitman yang hanya mengharapkan RM2,000 hingga RM3,000 untuk kelangsungan hidup. Ada isu sehingga pinjam-meminjam berlaku," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, dia juga mendapat maklumat bahawa pihak pengurusan Sabah FC sudah melangsaikan gaji untuk satu bulan pemain Sang Badak dan ia sedikit sebanyak melegakan para pemain.

"Kelmarin (Sabtu) sudah bayar sebulan (gaji para pemain), jadi ada tiga bulan lagi untuk diselesaikan," tambahnya.

Isu tunggakan gaji Sabah mula tercetus apabila beberapa pemain Sang Badak seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat menggunakan jari dalam aksi dalam aksi RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia pada baru-baru ini.

Dalam pada itu, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini menggesa pemain yang mengalami masalah tunggakan gaji untuk tampil melakukan laporan secara rasmi kepada pihak mereka.

Menurut PFAM badan yang memperjuangkan nasib pemain, pihaknya hanya boleh bertindak sebaik saja ada laporan sebaliknya jika tidak, mereka tidak boleh melakukan langkah seterusnya.

Oleh itu, sekiranya para pemain Sabah ingin memperjuangkan nasib mereka, mereka perlu memainkan tanggungjawab untuk melaporkan perkara berkenaan di saluran yang betul seperti memaklumkannya kepada PFAM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram