KEPUTUSAN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi empat hukuman kepada Selangor FC membangkitkan kemarahan penyokong bola sepak tanah air yang disifatkan tidak wajar dan kurang cakna dengan masalah semasa.
Pengelola liga bola sepak Malaysia itu bertindak untuk memotong tiga mata sebagai hukuman gagal menghadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih pada awal musim 2024/2025.
Selangor turut menerima hukuman denda serta perlu beraksi tanpa kehadiran penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pusingan kedua Liga Super nanti.
BACA LAGI: Sanggup pecah tabung bantu bayar denda, Upin Ipin balas jasa Selangor
BACA LAGI: 'Kita lawan perosak bola sepak', dari ADUN ke fans kelab Liga Super semua bersatu demi Selangor
Penderitaan Gergasi Merah bertambah apabila MFL mengambil keputusan mendenda Selangor sebanyak RM100,000, selain perlu dihukum perlu membayar ganti rugi kepada skuad Harimau Selatan.
MFL dilabel tidak berhati perut kerana seolah-olah tidak memahami keputusan Selangor untuk menarik disebabkan pemain mereka, Faisal Halim disimbah asid kurang seminggu daripada pertembungan itu.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri, keputusan badan pengelola itu dibuat bukan mengikut peraturan yang sudah ditetapkan namun diambil mengikut pandangan mereka.
Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, apa-apa pandangan dari MFL boleh dicabar susulan hukuman yang diberikan itu jelas tiada dalam mana-mana buku peraturan permainan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam berkata, Selangor FC masih mempunyai peluang untuk mengemukakan surat rayuan atas hukuman dikenakan terhadap mereka.
"Pandangannya kalau satu pasukan rugi kerana pasukan lain, pasukan tersebut kena rugi juga. Walaupun pasukan lain mempunyai merit tinggi dan berhak dapat penangguhan.
"Ini bukan mohon tangguh nak main Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) lepas tu MFL tak lulus dan kelab tersebut tidak hadir. Ini permohonan kecemasan kerana pasukan berada dalam ancaman keselamatan, pada satu peringkat pemain mereka bergelut dengan nyawa.
"MFL menggunakan kaedah qisas, nyawa dibayar dengan nyawa. Maka, jika terdapat kesilapan pengadil seperti memberi kad merah tidak wajar atau sebaliknya, MFL perlu gantikan ke pusingan kedua.
"Jika terdapat gol offside dibenarkan atau sebaliknya MFL juga perlu gantikan pada perlawanan kedua. Jika satu bas dirosakkan dengan batu, maka bas pihak lawan kena dirosakkan dengan batu. Kena rugi dua-dua.
"Jika lawan pasukan A petang Selasa, perlawanan kedua juga kena petang Selasa. Kalau nak qisas, qisas semuanya jangan qisas bersasar. Tetapi, bola sepak tak ada peraturan macam ini," katanya.
Menurutnya, tindakan MFL yang membuat hukuman berdasarkan pandangan mereka menjadikan situasi ini dilihat seolah-olah berat sebelah namun hakikatnya ia adalah idea kurang bernas daripada badan pengelola itu.
Tambah Zuraimi, MFL sepatutnya lebih bijak dalam mengendalikan kes terbabit bagi mengelakkan dua kelab tersebut mengalami kerugian besar dan antaranya yang boleh dilakukan ialah menangguh perlawanan sebelum melarat.
"Dari satu sudut benarlah MFL sendiri yang menghancurkan Liga Super. Elok sahaja satu rugi, mereka lebih sanggup lihat dua rugi. Sedangkan awal-awal lagi MFL boleh elak dan buat 0 rugi dengan tangguhkan dahulu perlawanan tersebut kerana diselubungi isu keselamatan.
"Salah siapa? JDT atau Selangor? Dua-dua tak, ia jelas salah MFL. Kerana kebodoha*nya dua kelab sudah rugi. MFL acap kali menunda perlawanan kerana satu pasukan mahu bermain di ACL, kenapa mereka keberatan untuk tunda kerana ada isu keselamatan?
"Kerana kebodoha*nya mengatur jadual, berpuluh juta ringgit dibelanjakan oleh kelab untuk membayar gaji hanya untuk latihan. Sejak hampir sedekad penubuhannya, MFL tidak mencapai objektifnya mahu menghasilkan RM3 juta kepada setiap kelab di Liga Super. Malah mereka sedang merugikan mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram