Sultan Selangor murka keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Sultan Selangor murka dengan keputusan MFL yang menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC yang dianggap tidak bertanggungjawab.

TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar meletakkan jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Perkara itu dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dalam satu ciapan media sosial miliknya.

"Saya telah menyerahkan surat perletakan jawatan saya kepada FAM berkuat kuasa serta-merta," ciap Avineswaran yang memetik kenyataan daripada Shahril.

BACA LAGI: Ikut 'morning walk' Kuching City, bekas pemain kebangsaan sedih lihat nasib Danish

BACA LAGI: Selain Fydriszewski, 3 bekas anak didik Hector Bidalgio boleh tarik minat JDT

Sementara itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan rasa dukacita dengan keputusan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan FAM dalam memberikan hukuman kepada Selangor FC.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin amat murka dengan keputusan MFL yang dianggap tidak bertanggungjawab atas keputusan Gergasi Merah meminta perlawanan Piala Sumbangsih ditangguh.

"Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Beta terkejut dan kecewa kerana Datuk Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato' Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) daripada beta.

"Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Sharafuddin turut pelik dengan MFL dan FAM yang tidak menunjukkan rasa simpati terhadap pihak teraniaya.

"Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

"Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini.

"Malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.

"Beta kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram