Bekas pengurus Man United buat kejutan bawa Austria ke pusingan kalah mati Euro 2024


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Austria mara ke pusingan 16 Euro 2024 selepas menewaskan Belanda dengan keputusan 3-2 pada Rabu. — Agensi

NAMA bekas Ketua Jurulatih Manchester United, Ralf Rangnick mencuri tumpuan penyokong bola sepak selepas berjaya membawa Austria melangkah ke pusingan kalah mati Euro 2024.

Ia selepas Austria meraih kemenangan 3-2 aksi berdepan Belanda dalam Kumpulan D pada Rabu.

Babak pertama perlawanan menyaksikan Austria mendahului Belanda dengan keputusan 1-0.

BACA LAGI: 'Ambil kira kerugian JDT', MFL perjelas hukuman Selangor beraksi tanpa penyokong

BACA LAGI: Selangor FC masih boleh merayu — MFL

Kapten Austria

Kapten pasukan Austria, Marcel Sabitzer menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 permainan. — Agensi

Jaringan sendiri penyerang Belanda, Donyell Malen seawal minit keenam permainan memisahkan aksi di separuh masa pertama.

Bersambung aksi di babak kedua permainan, perlawanan semakin rancak apabila Belanda menyamakan kedudukan pada minit ke-47 yang disudahkan oleh Cody Gakpo.

Pada minit ke-59 permainan, pemain sayap Austria, Romano Schmid mencatat nama sebagai penjaring untuk gol kedua Austria.

Anak-anak buah Ralf Rangnick terus melancarkan serangan sebelum pasukan Belanda kembali menyamakan kedudukan menerusi Memphis Depay pada minit ke-75.

Hasrat Belanda untuk sekurang-kurangnya mencatat satu mata berkecai apabila kapten pasukan Austria, Marcel Sabitzer menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-80 permainan.

Enam minit masa tambahan yang diberikan nyata tidak mengubah keputusan perlawanan dengan Austria mencatat kemenangan bergaya atasi Belanda 3-2.

Dalam saingan Kumpulan D ketika ini, Austria mengungguli kedudukan pertama dengan enam mata dan Perancis di kedudukan kedua.

Belanda pula menghuni tangga ketiga dengan empat mata dan Poland di tempat terakhir dalam saingan Kumpulan D kempen Euro 2024. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram