Ia satu kelebihan buat pasukan yang akan lawan JDT — Irfan Bakti


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

JDT kini menduduki tempat pertama dalam Liga Super selepas memenangi empat perlawanan terakhir. — Facebook/JDT

PERJALANAN Liga Super sudah memasuki minggu keempat dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terakhir.

Harimau Selatan mengutip 12 mata penuh diikuti Selangor FC yang berada di tempat kedua dengan sembilan mata.

Namun begitu, sebuah laman Facebook, TFC Data Hub mempersoalkan jadual yang ditempuhi JDT sepanjang empat perlawanan ini yang dilihat berat sebelah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Follow' ramai pemain Selangor dekat IG, Kobe Jae semakin hampir sertai Gergasi Merah?

BACA LAGI: Terengganu beri bayangan bintang pinjaman JDT turun aksi suku akhir Piala FA

TFC Data Hub dalam satu posting berkata, Harimau Selatan pasti akan berjumpa pasukan yang berehat minggu sebelumnya.

Mengulas mengenai posting yang dibuat TFC Data Hub itu, bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tidak bersetuju susunan jadual itu berat sebelah kepada pihak JDT.

Irfan berpendapat, ia satu kelebihan buat pasukan lawan lebih bersedia untuk bertemu Harimau Selatan seminggu awal sebelum hari perlawanan.

"Bagi saya tiada tangan ghaib, walau macam mana pun jadual tetap akan berjumpa dengan JDT.

"Bukan saya nak menyebelahi JDT, tapi kalau isu sekarang tak adalah istilah JDT sengaja atur jadual.

"Ia satu kelebihan untuk pasukan yang akan lawan JDT jika berehat panjang kerana boleh bersedia lebih awal.

"Saya dah pernah ada rekod tewaskan JDT semasa memegang Felda United dan Terengganu jadi mesti ada jalan nak kalahkan Harimau Selatan," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Irfan tidak bersetuju jika kejohanan Piala Sumbangsih masih menggunakan format liga dan perlu diasingkan.

"Kalau boleh perlawanan Piala Sumbangsih itu jangan kira mata, jangan ada perlawanan liga sebab ia aksi pembukaan.

"Ia perlu diasingkan dan tak ada kena-mengena dengan mata jadi tak perlu gugurkan mata.

"Sebab Piala Sumbangsih itu mata dikira, jadi apabila Selangor tarik diri mata mereka ditolak," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram