Hamidin bakal menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, sudah hubungi Istana Selangor


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Hamidin menjadi tumpuan atas beberapa isu berbangkit dalam arena bola sepak tanah air.

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis menegaskan pihaknya sudah menghubungi Istana Selangor.

Hamidin yang menerima teguran daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan kemelut bola sepak semasa berkata demikian ketika majlis perasmian Liga Wanita Nasional di Kuala Lumpur.

"Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan tentang keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Saya telah hubungi pihak Istana Selangor untuk membuat pertemuan dengan menghadap Tuanku Sultan," katanya.

BACA LAGI: Maszlee Malik serah wang pencen, Amirudin Shari kumpul dana demi keadilan Selangor FC

BACA LAGI: Selangor FC masih boleh merayu — MFL

Pada Rabu, Sultan Sharafuddin bertitah mengenai hukuman dikenakan MFL terhadap Selangor FC yang menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) Mei lalu.

Selain perlu membayar denda RM100,000, skuad kendalian Nidzam Jamil itu terpaksa beraksi tanpa kehadiran penyokong dalam perlawanan minggu ke-14 Liga Super menentang JDT.

Dalam kenyataan berkenaan, Sultan Sharafuddin menyatakan kekecewaannya dengan mempersoalkan Hamidin yang tidak serius bersuara berhubung isu berkenaan.

Malah, terdapat juga luahan mengatakan adanya kemungkinan Selangor FC menarik diri daripada Liga Super sekiranya isu tersebut tidak diuruskan sebaiknya.

"Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Datuk Hamidin. Beta terkejut dan kecewa kerana Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari 1995 hingga 2013

"Beta kini hanya berperanan sebagai penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram