'Kalau dia tahu betapa susahnya masuk Olimpik', bekas atlet negara kecewa kenyataan Hamidin


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 menerima kritikan hebat. — MOM

"KALAU dia tahu betapa susahnya untuk berada dalam Olimpik."

Itulah luahan yang dimuat naik oleh bekas atlet gimnastik negara, Nurul Fatiha Abd Hamid selepas melihat kenyataan yang diucapkan oleh Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkenaan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024.

Hamidin sebelum ini menjelaskan tema utama pakaian rasmi dihasilkan termasuk penggunaan warna emas berbanding jingga sebelum ini, bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

BACA LAGI: Sultan Selangor murka keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM

BACA LAGI: Magis Ivan Mahmut ditagih lawan Sang Badak

Ia selepas pakaian rasmi kontinjen negara itu mendapat reaksi negatif daripada seluruh rakyat Malaysia kerana rekaannya yang tidak begitu baik di mata orang ramai.

Namun bukanlah rekaan pakaian rasmi yang memberi kesan kepada juara enam kali Sukan SEA itu, tetapi kenyataan yang dilontarkan Hamidin membuatkan Fatiha terkesan.

CDM negara itu berkata, jika warna cantik tapi tidak berjaya membawa pulang hasil tidak menjadi satu yang bermakna juga.

"MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas.

"Itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam, jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga."

Melihat kenyataan itu, Fatiha menerusi laman Facebook miliknya memuat naik status jika 'dia' tahu betapa susahnya untuk berada dalam Olimpik.

"Jika dia tahu, betapa susahnya kesemua atlet berlatih, pengorbanan, kecederaan, korban masa dan jauh dari keluarga hanya untuk membuatkan mimpi menjadi kenyataan menjadi seorang atlet Olimpik.

"Menjadi impian setiap atlet untuk berada di Olimpik dan tidak semua bernasib baik.

"Jika dia tahu, hanya atlet yang terbaik akan berada di sana, dia tak akan cakap sebegitu," katanya.

Fatiha juga berharap pihak pengurusan sukan Olimpik dapat memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh atlet ketika menyarung jersi negara.

"Percayalah, bukanlah ingin membandingkan negara-negara besar yang dapat tajaan seperti Ralph Lauren dan jenama lain.

"Cukupla dapat berikan "wajah" yang dapat memberikan semangat dan perasaan bangga menyarung jersi negara, itu sahaja," luahnya.

Sebelum ini, Hamidin yang juga Timbalan Presiden MOM berkata, rata-rata atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024, bersetuju dengan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara di Paris.

Dengan berbaki hampir sebulan sebelum Paris 2004 dibuka secara rasmi pada 26 Julai ini, Hamidin berkata lebih baik sekiranya semua pihak termasuk orang ramai terus memberi sokongan padu kepada kontinjen negara, pada Sukan Olimpik kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram