Bukan isu kecil, corak harimau patutnya jadi identiti baju rasmi Olimpik negara — Roslin Hashim


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Pemilihan corak dan warna untuk pakaian rasmi atlet Olimpik menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

ISU hangat dibincangkan di media sosial selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pakaian rasmi untuk temasya yang bakal bermula pada Ogos akan datang.

Pakaian yang dilancarkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin dan atlet negara, Datuk Nicole Ann David itu mendapat kecaman ramai.

Coraknya dikatakan terlalu ringkas selain pemilihan warna jingga di lengan menjadikan orang ramai mahu reka bentuk berkenaan diubah sebelum temasya itu berlangsung.

BACA LAGI: Bukan pemain kita lemah mental, tapi tekanan 'tembok besar' China terlalu besar — Roslin

BACA LAGI: Pesan Roslin Hashim buat BAM, 'mulakan kerja dari sekarang'

2645268

Roslin mempersoalkan corak dipilih bagi pakaian rasmi atlet dalam Olimpik 2024.

Tidak cukup dengan itu, keputusan meletakkan warna jingga di bendera negara dan logo Olimpik membuatkan pakaian diumumkan itu mendapat kecaman ramai.

Bagaimanapun, apa yang lebih menjadi perhatian adalah apabila pakaian tersebut tidak memaparkan corak belang dengan ia boleh dianggap identiti sebenar negara, lebih-lebih lagi dalam bidang sukan.

Kekurangan ciri-ciri itu menjadi kecaman ramai, termasuk bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim yang berasakan pakaian diumumkan tersebut tidak memiliki aura tersendiri.

"Perkara ini menjadi bualan ramai kerana pakaian dalam acara sukan kita sinonim dengan harimau. Jadi, jika kita lihat yang terkini, ia tidak mempunyai identiti.

"Sekiranya ada yang beranggapan ini hanya satu isu kecil kerana cuma hanya mengenai jersi, mereka tidak tahu ini adalah imej seorang atlet yang mewakili negara," katanya kepada Majoriti.

tokyo

Orang ramai mula membandingkan pakaian rasmi Olimpik dengan edisi yang terdahulu.

Hamidin sebelum ini menegaskan rekaan pakaian rasmi itu diperkenalkan selepas mendapat persetujuan pelbagai pihak, termasuk atlet yang bakal bersaing dalam Olimpik akan datang.

Namun, ia masih tidak mendapat persetujuan ramai, lebih-lebih lagi dengan pakaian berkenaan tidak memaparkan imej dan corak pernah ditampilkan pada tahun-tahun sebelum ini.

Dalam pada itu, Roslin berkata, pemakaian tidaklah menceritakan persiapan kontinjen, namun ia boleh memberi impak terhadap motivasi dan mentaliti masing-masing.

"Kita tidak boleh kaitkannya dengan persiapan kerana ia lebih dari aspek individu. Tetapi, perkara ini sudah menjadi satu isu besar dan diperkatakan.

"Jadi, sudah tentu atlet yang bakal mewakili negara terasa kerana ini merupakan pakaian yang akan mereka kenakan sepanjang temasya. Sekiranya corak itu diangkat, ia sudah tentu akan membakar lagi semangat," katanya.

Untuk rekod, Roslin pernah beraksi pada temasya Olimpik 2004 dalam acara perseorangan lelaki, namun tidak bernasib baik untuk membawa pulang pingat.

Bagaimanapun, atlet yang kini sudah tidak aktif itu pernah meraih pencapaian cukup membanggakan, termasuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram