NTC Fasa 1 dijangka siap Disember 2026, jadi simbolik infrastruktur FAM — Hamidin


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Hamidin menegaskan pembangunan projek berkenaan merupakan agenda utama ketika dia diberikan kepercayaan menjadi Presiden FAM pada 2018.

PUSAT Latihan Kebangsaan (NTC) yang dibangunkan di Presint 5, Putrajaya dijangka siap dibangunkan pada Disember 2026 untuk kegunaan skuad bola sepak senior dan belia kebangsaan.

Menerusi majlis pecah tanah yang diadakan di lokasi tersebut pada Rabu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, projek itu merupakan agenda utama sejak dia diberikan kepercayaan berada di tampuk pengurusan bola sepak negara pada 2018.

BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ

BACA LAGI: Selangor kaji saluran, mahu ambil tindakan selepas dihukum MFL

WhatsApp Image 2024-06-26 at 10.26.31 AM

Hannah ketika merasmikan majlis pecah tanah di Presint 5, Putrajaya pada Rabu.

"Ketika Almarhum Tuanku Sultan Haji Ahmad Shah menggalas tugas sebagai Presiden FAM, Baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia.

"Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan projek NTC ini ialah Tan Sri Dr Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

"Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek NTC ini satu kenyataan.

"Sebaik diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden pada 14 Julai 2018, saya meletakkan agenda membangunkan projek NTC ini sebagai antara sasaran utama bagi memenuhi tuntutan dan evolusi bola sepak moden masa kini," katanya.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan projek itu bakal dibina di tapak seluas 5.2 hektar menggunakan dana RM24 juta disalurkan FIFA.

Fasa 1 bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan bermula pertengahan Jun dengan sebanyak tiga bah padang bola merangkumi beberapa jenis rumput bakal dipersiapkan buat penggunaan pasukan selain lampu limpah dan pagar setinggi enam meter.

Dalam pada itu, Hannah berkata, terdapat perancangan untuk menjadi Presint 5, Putrajaya sebagai 'bandar bola sepak' dalam negara merangkumi beberapa bangunan pentadbiran bagi beberapa persatuan.

"Saya juga dimaklumkan Perbadanan Putrajaya bahawa kawasan ini akan menjadi 'football city' dengan adanya ibu pejabat bagi AFC, AFF FAM serta NTC sendiri. Fasiliti lengkap di satu lokasi pusat dan saya percaya pembangunan kemudahan melengkapi ini akan menjadikan pasukan lebih selesa untuk semua aktiviti bola sepak kita," katanya.

Ketika ini, skuad bola sepak negara, termasuk wanita dan belia berlatih di Bangunan FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan beberapa fasiliti, seperti gimnasium dan pusat latihan dalaman turut disediakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram