MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjawab sindiran Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu corak dan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara untuk temasya Olimpik.
Menurutnya, setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri dalam mendepani isu-isu dan menguruskan tugasan diberikan terhadap mereka, termasuk berhubung pakaian tersebut.
"Saya menghormati pemegang taruh kita dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merupakan pemegang taruh utama bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya mempunyai cara kerja yang rapat dengan mereka selain hormati mereka sebagai satu institusi.
BACA LAGI: 'Keluar Sekejap atau selama-lamanya?', Ahmad Zahid beri bayangan masa depan KJ bersama Umno
BACA LAGI: Umno boleh bangkit tanpa tukar Ahmad Zahid, pendekatan ‘data driven’ antara langkah disaran KJ
Pakaian rasmi kontinjen negara ke Olimpik menimbulkan rasa kurang senang.
"Apabila saya menerima taklimat, saya mendapat maklumat pada zaman KJ (Khairy Jamaluddin), itu adalah zaman dia dan cara dia. Tetapi, selepas itu, saya sudah dimaklumkan MOM yang menentukan rekaan untuk jersi," katanya.
Hannah berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) di Kuala Lumpur yang turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis.
Dalam satu sesi podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, corak pakaian atlet negara sebelum ini diluluskan olehnya.
Reka bentuk pakaian sebelum ini sering menerima sokongan orang ramai, lebih-lebih lagi dengan corak belang harimau yang boleh dilabel sebagai identiti negara.
Khairy Jamaluddin memiliki reputasi baik dalam Kementerian Belia dan Sukan.
Jelas Hannah lagi, pakaian yang diumumkan itu tidak akan digunakan ketika perbarisan sambil menegaskan 'attire' untuk tujuan tersebut sudah dipilih.
"Komen-komen orang ramai di media sosial sudah kami dengar dan Tan Sri Norza (Zakaria) sudah dimaklumkan mengenai pandangan KBS. Saya percaya MOM mampu menangani isu ini dengan baik.
"Kita perlu hormati kontrak tajaan mereka dengan Yonex dan saya serahkannya kepada Tan Sri Norza dan percaya bahawa dia mahu menyelesaikannya," katanya lagi.
Corak pakaian rasmi atlet sebelum ini menerima kritikan kerana orang ramai menegaskan kombinasi warna dan pemilihan corak tidak melambangkan kontinjen negara.
Selain itu, pendekatan diambil MOM dalam melancarkan pakaian berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dengan terdapat dakwaan mengatakan organisasi tersebut tidak bersungguh-sungguh dalam melakukannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram