SELEPAS buat pertama kalinya kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), parti Umno dilihat semakin berdepan krisis kemerosotan sokongan sehingga menyumbang penyusutan jumlah kerusinya di Parlimen.
Meskipun trend penurunan itu sudah berlaku semenjak beberapa pusingan pilihan raya sebelum itu, namun perkara itu menjadi lebih jelas selepas 2018.
Malah berdasarkan keputusan PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada tahun lalu, Umno juga dilihat kini menjadi pilihan ketiga orang Melayu di belakang PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
BACA LAGI: 'Tiada keperluan untuk reformasi pelantikan ahli, Pengerusi SPR'
BACA LAGI: Tak termakan isu perkauman, agama bukti Umno berjaya pujuk pengundi bantu tawan KKB
Kemerosotan pengaruh Umno di dalam politik negara itu dilihat meletakkan parti itu kini seakan-akan berada di dalam mod krisis.
Pada masa sama, terdapat juga pemerhati politik yang berpandangan bahawa masa depan Umno kini dilihat semakin malap untuk mendapat tempat di dalam politik Malaysia.
Bagaimanapun, bagi bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penurunan pengaruh Umno dalam politik negara itu adalah sesuatu yang tidak kekal.
Malah, beliau juga positif situasi dihadapi bekas partinya itu ketika ini adalah sesuatu yang 'reversible' atau boleh diterbalikkan sekiranya Umno melakukan perubahan dari segi pendekatan politiknya.
Bekas Menteri Kesihatan itu turut menyatakan bahawa perkara itu boleh dilaksanakan meskipun parti berkenaan tidak melakukan perubahan terhadap kepimpinan tertingginya termasuk dalam menukar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Ujarnya, melalui perbincangannya bersama ahli yang masih bersama dengan Umno, rata-rata daripada mereka percaya perubahan pendekatan itu sememangnya diperlukan sekiranya parti mahu berubah.
Berikut merupakan tiga perubahan digariskan Khairy yang perlu dilakukan Umno sekiranya parti itu mahu kembali mendominasi politik negara.
Saranan itu dikemukakan ketika episod terbaharu program audio siarnya yang diterbitkan pada Selasa.
1. Letak sasaran kuasai 60-80 kerusi
Untuk memulakan perubahan tersebut, Khairy berkata, Umno perlu terlebih dahulu meletakkan sasaran untuk meningkatkan bilangan kerusinya di Parlimen kepada antara 60 hingga 80 kerusi berbanding 26 yang dimilikinya ketika ini.
Menurut Khairy, untuk mencapai tujuan tersebut, parti itu perlu menyasarkan kerusi yang ketika ini dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) melalui BERSATU dan PAS.
"Umno tak akan compete dengan PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebab mereka dah kata mereka akan jadi rakan kerjasama Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Jadi mereka akan bersaing dengan BERSATU yang ada 31 kerusi dan PAS yang mempunyai 43 kerusi," ujarnya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, Umno perlu merangka strategi mereka berdasarkan kepada matlamat tersebut termasuk mengenal pasti kawasan yang perlu dirampas daripada parti pembangkang.
"Taktik mereka mestilah selari dengan matlamat strategik untuk mencapai dominasi. Kemudian barulah mereka boleh tuntut jawatan Perdana Menteri atau kalau Anwar kekal nak jadi PM, Umno mungkin boleh mendominasi jemaah menteri," katanya.
2. Ambil pendekatan 'data driven'
Dalam pada itu, untuk kembali meningkatkan pengaruhnya, Khairy berkata, gerak kerja dilaksanakan Umno perlu dibuat secara data driven.
Ujarnya, penerapan pendekatan itu juga perlu meliputi sehingga ke peringkat lokaliti atau kawasan.
"Saya cadangkan Umno kenal pasti 30 kawasan tambahan yang boleh membantu parti itu mencapai jumlah 60 kerusi diperlukan dan mula memperolehi data yang boleh menjadi tinjauan pendapat atau 'tracking poll'.
"Benda ini dia tidak boleh buat data hanya setahun sebelum pilihan raya. Dia kena buat dari sekarang. Tanya soalan yang sama kepada sampel yang mewakili pengundi di kawasan tersebut.
"Tanya soalan sama setiap suku tahun supaya dapat melihat pandangan dan perubahan sentimen di kawasan tersebut," ujarnya.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Menurut Khairy, meskipun usaha menggunakan pendekatan berasaskan data itu sudah sekian lama dibincangkan dan dilakukan percubaan sebelum ini, namun ia disifatkan berdepan isu ketika aspek pelaksanaannya.
sudah ada percubaan untuk menerapkan pendekatan tersebut sebelum ini, parti
3. Segera kenal pasti calon berpotensi
Dalam pada itu, Khairy berkata, Umno juga perlu mengenal pasti calon untuk diketengah dan dipromosikan bermula daripada sekarang.
Ujarnya, calon bakal ditampilkan itu perlu terdiri daripada pemimpin yang popular atau termasuk individu dari luar parti yang berpotensi dijadikan wakil rakyat.
"Kalau ada calon yang sudah menunjukkan prestasi bagus di lokaliti tersebut, mungkin naikkan dia daripada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) naikkan sebagai bakal calon Parlimen.
"Saya bagi contoh seorang wakil rakyat yang sangat popular di kawasannya seperti ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem. Mungkin dia contoh pemimpin yang boleh ditonjolkan dan dibina imejnya," ujar beliau.
Menurut Khairy, kesemua cadangan yang dinyatakan itu bukanlah sesuatu yang begitu sukar untuk dilaksanakan.
"Benda ini bukan roket sains atau benda yang baru sahaja kita cakap. Benda ini pernah disebut dalam parti tapi tak pernah dilaksanakan dengan baik dan bagus," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram