Dari awal Liga M dilabel liga sarkas angkara 3 hukuman MFL bikin panas fans


  • Podium
  • Khamis, 27 Jun 2024

Penyokong Gergasi Merah yang sentiasa memberi sokongan kepada Selangor FC untuk terus meraih keputusan positif dalam setiap perlawanan. — Facebook/Selangorfc

BARU-BARU ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira selepas badan pengelola Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan luar jangka dengan menghukum Selangor FC.

Keputusan memberi empat hukuman kepada Selangor FC itu nyata membangkitkan kemarahan penyokong tanah air yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan kurang cakna dengan masalah semasa.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan MFL pada Selasa, skuad Gergasi Merah dikenakan empat hukuman, termasuk denda RM100,000, pemotongan tiga mata Liga Super dan larangan kemasukan penonton aksi Liga Super minggu ke-14 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) nanti.

BACA LAGI: 'Ambil kira kerugian JDT', MFL perjelas hukuman Selangor beraksi tanpa penyokong

BACA LAGI: Selangor FC masih boleh merayu — MFL

Sultan

Sultan Selangor murka dengan keputusan MFL yang menjatuhkan hukuman terhadap Selangor FC yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Selain itu, Selangor juga perlu membayar pampasan kepada JDT atas kerugian yang ditanggung ekoran aksi yang tertangguh itu.

Hukuman itu dibuat berikutan kegagalan Selangor menghadirkan diri dalam perlawanan Piala Sumbangsih 2024 berdepan Harimau Selatan pada Mei lalu.

Susulan hukuman tersebut, banyak pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penyokong pesaing Liga Super sudi menghulurkan bantuan kepada Gergasi Merah.

Tiga ADUN iaitu Izuan Kasim (Kota Damansara), Danial Al-Rashid (Batu Tiga) dan Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) atau dikenali sebagai Altimet sedia untuk membantu Selangor.

Malah, isu tersebut turut meraih perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan menyuarakan rasa dukacita terhadap keputusan yang dikeluarkan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memberikan hukuman kepada Selangor FC.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin "amat murka" dengan keputusan MFL yang dianggap tidak bertanggungjawab atas keputusan Gergasi Merah meminta perlawanan Piala Sumbangsih ditangguh.

Dalam pada itu, bercakap mengenai hukuman MFL terhadap Selangor, Majoriti menyenaraikan dua momen yang mana menyaksikan kelab Liga Super berdepan hukuman sukar diterima daripada badan pengelola bola sepak negara itu.

Faisal Halim digantung empat bulan

Seperti yang diketahui sebelum ini, bintang Selangor FC, Faisal Halim pernah digantung selama empat bulan oleh FAM.

Hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib itu susulan kenyataan media yang dibuat pemain kebangsaan terbabit selepas perlawanan menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super pada 27 April musim lalu.

Ia berikutan satu komen yang dibuatnya selepas aksi berdepan Sang Badak dengan mengatakan ada pihak berusaha menjatuhkan kelab Lembah Klang tersebut.

Faisal Halim

Satu hantaran di InstaStory milik Faisal menceritakan rasa kecewanya.

Hukuman penggantungan selama empat bulan yang dikenakan terhadap pemain sayap kebangsaan itu nyata mencetuskan perdebatan hangat pemain bola sepak tanah air.

Ramai penyokong berpendapat bahawa hukuman berkenaan tidak sepatutnya dikenakan memandangkan ia hanyalah pendapat pemain.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah itu menyaksikan Selangor terpaksa berputih mata apabila tewas 1-2 di tangan The Rhinos.

Hukuman MFL bebankan Kelantan

Kelantan pernah berdepan hukuman tidak masuk akal selepas MFL mengenakan pemotongan geran tahunan sebanyak 50 peratus bagi musim 2019.

Ia susulan selepas kegagalan Kelantan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Kelantan

Kelantan pernah berdepan hukuman pemotongan geran tahunan bagi musim 2019.

Hukuman yang dikenakan MFL itu nyata memberi kesan kepada semua pasukan terlibat yang merupakan pemegang taruh kepada organisasi penganjur Liga M itu.

Pemotongan RM1 juta bagi musim 2018 dan 2019 nyata membebankan Kelantan yang menganggap tindakan itu seolah-olah mahu mengheret mereka keluar daripada Liga M.

Dalam pada itu, presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ketika itu, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, MFL sepatutnya bersikap membantu dan bukannya memberi tekanan kepada kelab yang berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram