Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Selangor dipotong tiga mata selepas gagal hadirkan ke Piala Sumbangsih. — Agensi

SELANGOR FC dihukum dengan pemotongan tiga mata oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas gagal untuk menghadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih pada awal musim 2024/2025.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh badan penganjuran liga pada Selasa, Selangor turut menerima hukuman denda serta perlu beraksi tanpa kehadiran penyokong di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor.

Bagaimana pun, hanya satu perlawanan saja yang perlu diadakan tanpa penonton iaitu ketika berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi ke-14 Liga Super.

BACA LAGI: Umum Piala Sumbangsih batal, tapi JDT tetap dianggap juara

BACA LAGI: Masih belum terima jawapan, fans JDT persoal tarikh 'refund' tiket Piala Sumbangsih

Keputusan yang dilakukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL itu menetapkan Selangor perlu berdepan empat jenis hukuman kerana gagal hadirkan diri ke perlawanan pembukan tirai musim Liga Malaysia.

Hukuman pertama adalah Selangor didenda sebanyak RM100,000 dengan wang akan disalurkan kepada badan kebajikan yang akan ditentukan kemudian.

Hukuman kedua adalah Selangor perlu membayar pampasan kerugian terhadap JDT kerana tidak hadirkan diri ke perlawanan Piala Sumbangsih. Nilai kerugian akan dimaklumkan oleh JDT kepada MFL untuk diserahkan kepada Selangor.

Hukuman ketiga pula adalah Selangor ditolak tiga mata daripada Liga Super. Ia menjadikan Gergasi Merah kelab kedua selepas Kedah Darul Aman FC yang menerima hukuman sama pada awal musim akibat kegagalan membayar gaji pemain.

Hukuman terakhir adalah aksi antara Selangor dan JDT yang diadakan di Kelana Jaya akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong dengan operasi perlawanan akan diadakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram