Pantang diberi peluang, ketajaman Assifuah persis 3 bekas import Kedah


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Benteng pertahanan Penang FC gagal menyekat serangan Assifuah (dua kanan) yang tidak berputus asa mahu membolosi pintu gawang lawan.

NAMA Ebenezer Assifuah terus meniti di bibir penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas membantu Sang Kenari menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu.

Jaringan tunggal Assifuah pada minit ke-77 itu sedikit demi sedikit menunjukkan kualiti penyudah yang ada pada import Ghana tersebut.

Selepas pulih daripada kecederaan musim lepas, Assifuah akhirnya boleh meraih semula kepercayanan Nafuzi Zain dengan jaringan-jaringannya yang dihasilkan.

BACA LAGI: Tepat masanya, Nafuzi pertahan lambat masukkan Syafiq Ahmad dan Ebenezer Assifuah

BACA LAGI: 'Dialah konon ultras paling hebat', pakar saran hukuman sebat untuk elak keganasan bola sepak berulang

Assifuah

Ebenezer mencatatkan jaringan hatrik untuk membantu skuad Sang Kenari menundukkan Bukit Tambun FC. — Facebook/KDA FC

Setakat ini, Assifuah sudah meledak hatrik dalam aksi Piala FA 2024 ketika menentang Bukit Tambun pada 14 Jun lalu dan satu gol untuk aksi Liga Super.

Dalam pada itu, tidak melampau untuk katakan yang Assifuah mempunyai kualiti penyudah setajam bekas penggempur import Kedah satu masa dulu.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga bekas penyerang yang pastinya cukup dikenali di mata penyokong Jelapang Padi itu.

1. Ifedayo Olusegun

Nama Ifedayo Olusegun tidaklah begitu asing dalam kalangan penyokong Sang Kenari selepas berjaya membantu skuad itu menembusi benteng pertahanan lawan menerusi 12 gol peribadi yang dicetak olehnya musim lalu.

Meskipun sudah berusia, ia bukan penghalang untuk Ifedayo menunjukkan ketajamannya sebagai penyudah di depan pintu gawang lawan.

WhatsApp Image 2024-06-24 at 19.04.52

Ifedayo tidak berdepan sebarang isu untuk menyesuaikan diri dalam skuad Sang Kenari.

Dia yang dibawa masuk sebagai penyelesaian jangka masa pendek pada jendela perpindahan pertengahan musim jelas tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri.

Tetapi, kontrak Ifedayo tidak disambung musim ini yang sekali gus menyaksikannya menyertai PDRM FC sementara Kedah membawa masuk Milos Gordic, Syafiq Ahmad dan Assifuah sebagai penggantinya.

Beraksi bersama PDRM FC, Ifedayo meneruskan rentak cemerlang apabila sudah menjaringkan tiga gol untuk membantu skuad Sang Saka Biru di pentas domestik.

2. Ken Ilso Larsen

Keputusan berani Kedah membawa masuk import dari Eropah merupakan perkara yang pastinya sukar dilupakan oleh penyokong Sang Kenari.

Ia kerana keputusan membawa masuk import dari Eropah musim 2017 itu memerlukan kewangan yang kukuh.

Kedah bagaimanapun mengambil keputusan untuk menandatangani penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen yang pernah beraksi bersama beberapa kelab sekitar Eropah.

WhatsApp Image 2024-06-24 at 19.03.41

Ken Ilso (tengah) merupakan penyerang cukup berkualiti buat skuad Sang Kenari.

Begitupun, kehadiran Ken Ilso nampaknya memberi kepuasaan kepada Kedah selepas merekodkan jumlah jaringan yang mengagumkan.

Secara keseluruhan, Ken Ilso berjaya menjaringkan 20 gol dalam 25 penampilan Liga Malaysia buat skuad Sang Kenari dengan pulangan itu boleh dianggap cukup prolifik buat pemain sepertinya.

Kini, Ken Ilso difahamkan tidak lagi beraksi secara profesional, namun sering memuat naik hantaran berkaitan Kedah FA di Instagram peribadinya.

3. Marlon Alex James

Kejayaan double treble diraih Kedah pada 2007 dan 2008 bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan penyokong kelab Utara tanah air berkenaan.

Ini kerana sehingga hari ini, pencapaian itu masih disebut-sebut dengan hanya pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) pernah mengulanginya.

Salah seorang tonggak dalam skuad Sang Kenari pada tempoh gemilang itu ialah penyerang import, Marlon Alex James yang merupakan seorang peledak serba lengkap.

WhatsApp Image 2024-06-24 at 19.04.18

Keunggulan Marlon sukar diulangi mana-mana penyerang Kedah sehingga hari ini.

Tubuhnya yang sasa membuatkan pemain itu sukar diasak lawan di samping kebolehannya mencipta gandingan bersama rakan sepasukan membuat import terbabit sukar dilupakan.

Ini dibuktikan dengan Anugerah Kasut Emas yang pernah dibawa pulang penyerang dari Saint Vincent and The Grenadines itu sepanjang dua musim beraksi buat skuad Sang Kenari.

Pemain berketinggian 1.88 meter itu meledak 44 gol dalam 44 penampilan ketika bersama Kedah pada 2006 hingga 2008, membantu Kedah menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA selama dua musim berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram