Selangor kaji saluran, mahu ambil tindakan selepas dihukum MFL


  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Selangor mahu mencari saluran lain untuk mengambil tindakan seterusnya selepas dihukum MFL.

SELANGOR FC meneroka pilihan yang ada untuk mengambil tindakan seterusnya selepas dihukum oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Pada Selasa, MFL membuat keputusan untuk menghukum Selangor kerana tidak menghadirkan diri dalam perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mei lalu.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan pihak kelab, Selangor mengatakan mereka ada memohon kepada MFL untuk menangguhkan perlawanan tersebut tetapi ditolak oleh MFL.

BACA LAGI: Tidak hadir Piala Sumbangsih: Selangor FC dipotong 3 mata, lawan JDT tanpa penonton di Stadium MBPJ

BACA LAGI: Masih belum terima jawapan, fans JDT persoal tarikh 'refund' tiket Piala Sumbangsih

"Pihak Kelab mengambil maklum akan keputusan Malaysian Football League (MFL) tentang kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei lalu.

"Untuk makluman, pihak Kelab telah memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Faisal Halim pada 5 Mei lalu, dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak.

"Oleh itu, pihak Kelab sedang meneliti dan mengkaji semula semua saluran yang bersesuaian untuk mengambil tindakan seterusnya," kata Selangor.

Sebelum ini, MFL menghukum Selangor dengan empat jenis hukuman iaitu denda sebanyak RM100,00 serta pemotongan tiga mata.

Malah, Selangor turut diarahkan membayar pampasan selepas gagal hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih serta aksi antara kedua-dua kelab di Kelana Jaya akan diadakan tanpa kehadiran penyokong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram