SEORANG lagi mangsa insiden bot nelayan karam yang dilaporkan di Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor lima hari lalu ditemui lemas di perairan Muar pada petang Selasa.
Perkembangan itu menjadikan tiga nelayan telah dijumpai setakat ini.
Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, mangsa Lee Pong Ling, 68, ditemui kira-kira pukul 2 petang oleh Feri MV Mulia Kencana 20 yang dalam perjalanan dari Bengkalis, Indonesia ke Muar.
BACA LAGI: Bot nelayan karam Segenting: Peluang masih hidup tetap ada — Maritim
BACA LAGI: Mangsa kedua bot nelayan karam Tanjung Segenting ditemukan terdampar di Pantai Koris
Op Carilamat ditamatkan pada petang Selasa. — Maritim Malaysia
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Jabatan Laut Muar dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hopital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Haniff bagaimanapun berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari kelima itu ditamatkan petang Selasa susulan tiada petunjuk baharu dalam pencarian seorang lagi mangsa, Raud Darus@Hamid, 53.
"Operasi pencarian akan diteruskan oleh aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin," katanya.
Majoriti sebelum ini melaporkan, empat nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka dilaporkan terbalik dan tenggelam akibat cuaca buruk di perairan Tanjung Segenting, pagi Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram