‘Harimau Malaya lebih hebat berbanding Sang Garuda, nasib tak baik dalam grup berbeza’


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Perbalahan antara Harimau Malaya dan skuad Garuda bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap bola sepak Asia Tenggara.

KEKECEWAAN masih dirasai penyokong atas kegagalan Harimau Malaya melayakkan diri ke pusingan ketiga kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Meskipun meraih kemenangan dalam dua aksi pembukaan, prestasi tidak menentu selepas itu menyaksikan mereka hanya berada di tangga ketiga di belakang Kyrgyzstan dengan perbezaan mata yang tipis apabila sekadar mengutip 10 mata.

Situasi itu sudah tentu mendapat perhatian peminat bola sepak di Asia Tenggara kerana skuad kebangsaan dilihat mempunyai peluang besar untuk mara ke pusingan seterusnya.

BACA LAGI: Bakat muda, 'beku' naturalisasi antara talian hayat KPG bantu kebangkitan Harimau Malaya

BACA LAGI: Semangat bangkit melawan ada dalam DNA Harimau Malaya — KPG

448499564_983714193761872_8930378898301094749_n

Statistik terakhir menunjukkan Harimau Malaya beraksi lebih baik dalam peringkat kumpulan berbanding Indonesia. — Facebook/Asean Football

Ini termasuk penyokong negara jiran, Indonesia yang menjadi satu-satunya wakil dari rantau ini di peringkat seterusnya selepas berada di tangga kedua Kumpulan F.

Menariknya, kedudukan akhir skuad Garuda itu boleh dikatakan hampir serupa dengan Harimau Malaya berdasarkan kutipan mata dan perbezaan jaringan.

Kedua-dua negara tersebut merekodkan 10 mata daripada enam perlawanan dengan sifar perbezaan gol yang sekali gus menimbulkan perbandingan hebat mengenai seteru Nusantara itu.

Malah, perkara itu menjadi perdebatan hangat di media sosial dengan penyokong bola sepak negara berasakan Harimau Malaya memiliki peluang cerah untuk layak sekiranya berada di Kumpulan F.

2745413

Harimau Malaya terpaksa menelan realiti pahit atas kegagalan mereka. Facebook/FAM

"Itulah sebabnya penyokong Indonesia tidak suka apabila orang mengatakan mereka berada dalam kumpulan kurang mencabar. Sekiranya Harimau Malaya dalam kumpulan itu, 10 mata pasti sudah cukup untuk layak," kata Zahin Akid.

"Statistik (kumpulan mata) membuktikan Harimau Malaya adalah pasukan terbaik di Asia Tenggara, cuma tidak bernasib baik," komen Ahmad Danial.

"Lawan Indonesia dalam kumpulan kelayakan sering dihadapi mereka dalam Piala AFF kecuali Iraq, itulah sebab mudah mara. Tidak seperti Malaysia," kata Ruani Rafiqrizwanrizan Shakilahaleesah.

Berdasarkan kutipan mata akhir, beberapa naib juara kumpulan lain, seperti China dan Palestin tidak melepasi angka diperoleh skuad kebangsaan.

Namun, dengan pasukan lain dalam kumpulan tidak memberikan tentangan, mereka mara ke pusingan seterusnya dan berpeluang meraih slot ke Piala Dunia 2026.

Untuk rekod, skuad kebangsaan berada dalam Kumpulan D bersama Kyrgyzstan, Oman dan Taiwan sementara Indonesia diundi di samping Iraq, Filipina dan Vietnam.

Harimau Malaya masih memiliki peluang beraksi dalam Piala Asia 2027, namun perlu memberikan persembahan terbaik dalam pusingan ketiga kelayakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram