Penang FC model terbaik jadi ikutan 4 kelab bergelut isu gaji


  • Podium
  • Khamis, 20 Jun 2024

Langkah diambil pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang sering membuahkan hasil buat pasukan. — Facebook/Penang FC

EPISOD musim lalu sekali lagi berulang selepas beberapa kelab Liga Super sekali lagi bergelut untuk menampung kos perbelanjaan dan operasi masing-masing.

Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC merupakan dua pasukan yang terlibat dengan mereka masih tidak memiliki sumber kewangan kukuh seperti mana dialami musim lalu.

Namun, apa lebih mengejutkan adalah apabila Perak FC dan Sri Pahang FC turut terjerumus ke dalam kemelut sama sehingga perkara itu mengejutkan penyokong.

BACA LAGI: Bukan pemain sahaja terpalit isu gaji, ada kakitangan terpaksa pinjam duit untuk 'survive'

BACA LAGI: Orang kuat Perak FC tak nafi ada isu gaji, ajak fans beli 'merchandise' selesaikan masalah

Untitled design - 1

Sebanyak empat kelab dilaporkan sudah terlibat dengan masalah gaji ketika ini.

Situasi tersebut membuatkan pelbagai pihak berasa kecewa terhadap kegagalan pihak pengurusan sehingga membuatkan isu sedemikian berulang saban tahun.

Malah, ada dalam kalangan penyokong yang hairan akan keengganan kelima-lima kelab itu untuk mengikut jejak langkah pasukan dengan kemahiran mengurus kewangan serta hala tuju.

Salah sebuah pasukan yang cukup bijak dalam berbuat demikian ialah Penang FC memandangkan mereka tidak berdepan sebarang masalah gaji dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Meskipun tidak berada dalam prestasi terbaik, kebajikan pemain yang terjaga boleh dianggap satu pencapaian lebih baik melihat kepada saingan bola sepak tanah air.

Jadi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga langkah berkesan diambil skuad Harimau Kumbang yang wajar diikuti mana-mana pasukan bergelut dengan isu kewangan.

1. Kurangkan jumlah pemain import

Musim ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi kelonggaran terhadap kesemua pasukan bertanding untuk mendaftarkan maksimum sembilan import dengan enam daripadanya boleh diturunkan pada satu-satu masa.

Kelonggaran itu memberikan ruang buat mana-mana pasukan yang mempunyai kewangan stabil, seperti Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC untuk bersaing.

Namun, pihak pengurusan perlu mengukur baju di badan sendiri supaya tidak terpalit dengan masalah kewangan apabila perlu membayar gaji import yang lebih mahal.

448229619_1018585949782059_8628697692702742261_n

Richmond merupakan salah seorang import dimiliki skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Berdasarkan pemerhatian, skuad Harimau Kumbang merupakan pasukan dengan jumlah import paling sedikit kerana mereka hanya membawa masuk empat pemain luar, termasuk meminjam Richmond Ankrah dari Selangor FC.

Perancangan sedemikian boleh dikatakan kurang dipercayai penyokong pada awalnya kerana mereka beranggapan kualiti pemain tempatan tidak mampu menjadikan mereka sebagai pesaing.

Tetapi, setakat kira-kira sebulan saingan Liga Malaysia berlangsung, Penang FC berada dalam prestasi memuaskan apabila masih belum tewas dalam Liga Super selain mara ke suku akhir Piala FA.

Keputusan sedemikian boleh dikatakan satu perancangan cukup baik kerana kelab tidak akan melakukan pembaziran dalam menampung kos pemain import yang akhirnya tidak membuahkan hasil.

2. Hargai kumpulan penyokong meskipun kecil

Umum mengetahui bahawa Penang FC bukanlah sebuah kelab yang dapat menarik ribuan penyokong ke stadium untuk setiap perlawanan seperti JDT, Terengganu FC dan Selangor FC.

Faktor demografi dan geografi merupakan sesuatu yang menyekat sorakan kukuh diterima dengan isu tersebut sudah tentu menyukarkan hasrat pihak pengurusan membawa masuk penaja.

Tetapi, hubungan penyokong dengan kelab boleh dikatakan amat kukuh kerana Stadium Bandaraya, Pulau Pinang masih mampu menarik kehadiran memberangsangkan.

448137913_1018589456448375_8930196756264750195_n

Persembahan skuad Harimau Kumbang kian meningkat musim ini. Facebook/Penang FC

Dalam aksi di laman sendiri menentang skuad Sang Penyu, statistik menyatakan 4,557 penyokong hadir dengan ia boleh dianggap satu jumlah meyakinkan.

Sekiranya amaun sedemikian boleh diteruskan, kewangan kelab sudah tentu akan menjadi lebih kukuh, sekali gus menghadirkan sumber kewangan daripada pelbagai sumber.

Jadi, bagi pasukan Liga Super yang bergelut, ini merupakan salah satu kunci utama bagi memastikan kelab masing-masing tidak terpalit dengan masalah tunggakan gaji.

3. Wujudkan kerjasama dengan kerajaan negeri

Dasar penswastaan yang ditekankan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh dilabel sebagai satu langkah murni untuk memastikan kerajaan negeri tidak tertekan.

Bagaimanapun, pelaksanaan yang kurang berkesan menyaksikan perubahan itu seakan-akan tidak efisien kerana masalah tunggakan gaji berulang hampir setiap tahun.

Namun, sekiranya sesebuah kelab mahu mencatatkan kejayaan dalam menswastakan diri masing-masing, langkah diambil Penang FC boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik.

441923072_1001871968120124_3753209187217021567_n

Kecekapan pihak pengurusan membantu kestabilan skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Penerimaan dana daripada kerajaan negeri digunakan dengan baik apabila mereka memastikan wang yang disalurkan tidak disia-siakan setiap musim.

Selain itu, sikap keterbukaan pihak pengurusan membawa masuk penaja berbeza merupakan satu langkah progresif diambil kelab Utara tanah air berkenaan untuk kekal 'bernafas'.

Jadi, bagi pasukan-pasukan yang masih berbuat demikian seperti Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Sabah FC, mereka wajar mengikut langkah skuad Harimau Kumbang dalam perkara berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram