Pernah sertai Kedah, siapa pemain bersama Faisal Halim berlatih di England?


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Akhmar (kanan) bersama Faisal (kiri) ketika berlatih di England. — Facebook

KISAH mengenai Faisal Halim sentiasa menjadi sebutan ramai terutamanya selepas dia kini kembali ke khalayak umum sejak insiden simbah asid melanda dirinya.

Pelbagai kisah muncul mengenai dirinya, antaranya adalah cerita Faisal pernah ke England untuk berlatih di sana. Dalam gambar yang kembali tular di media sosial, Faisal dilihat bersama dengan seorang lagi pemain. Siapakah dia?

Individu tersebut adalah Akhmar Haikal Azhar, seorang pemain yang dulu pernah punyai potensi besar untuk jadi seperti Faisal. Berikut antara kisah mengenai dirinya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Chant' khas Faisal Halim letak Mickey sebaris ikon Indonesia di Selangor, Kedah

BACA LAGI: Luka Faisal Halim belum kering, sudah mula jalani fisio ringan — CEO Selangor

Keluaran Frenz United

Akhmar merupakan seorang penyerang berketinggian 1.79 meter. Berusia 25 tahun, Akhmar merupakan sebahagian daripada akademi bola sepak terkenal iaitu Frenz United.

Beraksi sebagai penyerang, Akhmar menunjukkan kualitinya sebagai penggempur tajam. Dengan ketinggian yang ada padanya, Akhmar mempunyai saiz sesuai untuk menjadi pemain berjaya di posisinya.

Malah, Akhmar pernah mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol untuk Frenz United A sewaktu mereka berdepan Frenz Indonesia dalam Piala ASEAN-FAM-Frenz 2013 di Bandung.

Bakatnya nyata mencuri tumpuan dan dia berjaya menyertai Kedah Darul Aman FC sebagai sebahagian daripada skuad remaja mereka.

Panggilan Sang Kenari

Tiga tahun selepas menjaringkan gol di Bandung, Akhmar dilamar untuk menyertai skuad Piala Presiden Kedah Darul Aman FC.

Akhmar merupakan sebahagian daripada 23 pemain yang menyertai skuad kendalian Ian Gillan dan menamatkan saingan di peringkat suku akhir.

Apa yang menariknya adalah Akhmar ketika itu bersama-sama dengan pemain lain seperti Ifwat Akmal, Fiqrie Talib dan Hidhir Idris yang turut memulakan karier mereka bersama Sang Kenari.

Jodoh Akhmar bersama Kedah hanya semusim dengan dia kemudiannya menyertai Felda United pada 2017 dengan kontrak jangka panjang.

Dia kembali ke Kedah pada 2018 untuk menyertai skuad Sukan Malaysia (SUKMA) dan berjaya memperoleh pingat perak selepas tumpas 1-2 kepada tuan rumah, Perak.

12486081_1084831094882700_4647536248357582533_o

Akhmar menyertai skuad Piala Presiden Kedah Darul Aman pada 2016. — FA Kedah

Kini jauh dari bola sepak

Akhmar kemudiannya meneruskan kariernya di peringkat senior dengan menjadi pemain bagi Sang Peneroka untuk skuad Liga Super pada 2020.

Namun begitu, menerusi laman Transfermarkt, dia tidak lagi bermain untuk mana-mana pasukan bermula pada tahun 2021. Lebih mengejutkan, Akhmar seolah-olah hilang daripada radar dan tidak dapat dikesan.

Bekas penyerang itu dilaporkan tidak lagi berada dalam industri bola sepak dan sedang menceburi dunia perniagaan makanan Itali iaitu piza.

Bakat dimiliki oleh Akhmar sememangnya besar namun bola sepak sukar untuk diduga. Saat kita berasakan dia bakal menjadi penggoncang dunia, terdapat detik yang akan mengubah segalanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram