BADAN induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menganjurkan sebuah pertandingan peringkat kebangsaan bagi para pemain di peringkat usia bawah 16 tahun.
Menurut Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell, dia mencadangkan perkara tersebut untuk memberikan platform kepada pemain masa depan negara beraksi.
Dia berpendapat kurangnya penganjuran pertandingan menyukarkan usaha mengesan bakat berkualiti pada peringkat umur sebegitu.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar dia selesaikan misi', ekor Harimau Malaya mahu FAM kekalkan Kim Pan-gon
BACA LAGI: Negara jiran giat cari pemain warisan, FAM patut ‘naik gear’ supaya tak ketinggalan
Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell (kanan). — FAM
"Salah satu daripada perancangan masa depan adalah untuk mempunyai liga bawah 15 tahun (B-15) dan bawah 16 tahun (B-16) peringkat kebangsaan untuk pastikan kita ada platform bagi para pemain muda terbaik untuk menunjukkan kebolehan mereka secara kerap.
"Jika kita benar-benar serius untuk layak ke Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) pada masa depan, kita perlukan pertandingan sebegini," kata O'Donell.
Kata pengarah teknikal itu lagi, walaupun sistem bola sepak di negara kita sudah mempunyai kejohanan seperti Piala Belia serta kejohanan Suparimau, ia masih belum cukup.
Menurut O'Donell, bermain dalam perlawanan persahabatan serta pertandingan piala saja tidak mencukupi. Tetapi, para pemain muda di negara kita memerlukan saingan liga yang diadakan sepanjang tahun.
"Piala Belia adalah untuk pemain B-16 dan Suparimau ialah liga akar umbi untuk mereka yang berumur enam hingga 16 tahun. Kami mempunyai pencari bakat terlatih untuk mengenal pasti pemain.
"Tetapi untuk pastikan pemain kita terus berkembang, ia bukan saja mengenai bermain dalam perlawanan persahabatan atau kejohanan, tetapi bermain secara tetap.
"Jika kita dapat kenal pasti pemain yang diturunkan dalam saingan liga, kita ada peluang lebih tepat mengesan bakat berpotensi kerana mereka bermain secara kerap," jelas O'Donell.
Skuad B-16 kebangsaan menyertai Piala Asean yang diadakan di Indonesia bermula 21 Jun hingga 3 Julai.
Pasukan negara diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama Timor Leste, Australia dan Thailand. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram