Kad merah Alex timbulkan persoalan, tapi fans Perak lebih geram dengan Lee Tae-min


  • Podium
  • Ahad, 23 Jun 2024

Tae-min dilabel punca jentera serangan skuad TBG tidak beraksi di tahap sebenar. — Facebook/Perak FC

SELANGOR FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas Perak FC dalam aksi yang berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.

Serangan demi serangan dilancarkan akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang import, Ronnie Fernandez menggegarkan gawang lawan pada minit ke-24.

Gerakan dilancarkan Selangor FC sekali lagi membuahkan hasil selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti berikutan kekasaran dilakukan bek skuad The Bos Gaurus (TBG), Tommy Mawat Bada.

BACA LAGI: Terlalu cintakan Selangor punca legenda selamba tolak offer kelab gergasi Eropah

BACA LAGI: Tak mungkin kembali ke Selangor, Penang dan Perak boleh berebut khidmat pemenang Kasut Emas

449059421_18438481663006712_2522373151356266662_n

Agyarkwa (tengah) dilayang kad merah akibat kekasaran dilakukannya pada babak kedua. Facebook/Selangor FC

Meskipun bentesan dilakukan dalam kotak penalti gagal dikesan pengadil pada awalnya, semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Selangor FC perlu diberikan sepakan.

Bagaimanapun, kisah sebaliknya berlaku pada babak kedua selepas pasukan pelawat lebih mengawal permainan, lebih-lebih lagi selepas pemain tengah skuad Gergasi Merah, Alex Agyarkwa dilayangkan kad merah.

Dia yang cuba membuat hantaran gagal mengawal diri sebelum kaki kanannya didapati memijak lawan, Wan Zack Haikal Wan Noor dan semakan VAR mengesahkan pemain itu wajar dibuang padang.

Keputusan berkenaan jelas kurang disenangi penyokong yang membanjiri Stadium MBPJ kerana hampir kesemua daripada mereka mempersoalkan pendirian pihak pengadilan.

Peluang itu diambil sebaik mungkin oleh skuad TBG yang memastikan Selangor FC dibolosi buat pertama kali musim ini selepas tandukan Azfar Fikri gagal ditepis Sam Somerville.

Bagaimanapun, kedudukan 2-1 berpihak kepada skuad Gergasi Merah kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan penyokong skuad TBG berasa kecewa akan kekalahan itu.

448971268_480311367882577_3026968436712092405_n

Azfar berjaya menjaringkan gol saguhati buat skuad TBG dalam pertembungan itu. Facebook/Perak FC

Bagi mereka, kegagalan membawa pulang sebarang mata itu berpunca daripada kelewatan pemain import, Lee Tae-min dalam membuat hantaran dan membuka peluang buat rakan sepasukannya.

Meskipun dia hadir memiliki reputasi cukup baik setakat musim ini, penyerang sayap Korea Selatan itu boleh dikatakan bergelut sepanjang 90 minit permainan.

"Tae-min beberapa kali melewatkan permainan, banyak membazirkan peluang. Nak peluang terbuka, memang pemain Selangor FC sudah kembali ke kotak masing-masing," kata Syaefiq Amran.

"Lee tu boleh direhatkan untuk perlawanan selepas ini. Clayton pun boleh dikatakan kurang berfungsi. Cuba beri peluang buat pemain tempatan pula," kata Kamarulzaman Aziz.

"Import Korea itu boleh rehatkan dahulu, sering melewatkan pergerakan. Jika mahu tunggu peluang cerah, akan ada pertahanan lawan akan menutup ruang," kata Mohd Arip.

Selepas ini, Selangor FC akan berlepas ke Kuching, Sarawak untuk berdepan skuad The Cats dalam aksi suku akhir Piala FA pada Sabtu depan.

Bagi Perak FC pula, misi mereka untuk meraih kemenangan kedua dalam Liga Super 2024/25 dibuka pada 13 Julai apabila mereka akan berdepan Penang FC di Stadium Perak, Ipoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram