DESAS-desus mengenai ketibaan pemain warisan negara iaitu Kobe Jae Chong ke Liga Super menjadi tumpuan dengan dia dilaporkan dilamar beberapa kelab.
Namun begitu, khabar angin mengatakan hatinya sudah tersemat untuk memilih Selangor FC sebagai destinasi pertamanya di Malaysia selepas beraksi dekat saingan bawahan England.
Selangor dilihat menjadi destinasi baik untuknya atas beberapa faktor dan dengan latihan yang betul, dia boleh menjadi jeneral baharu Gergasi Merah.
BACA LAGI: 'Jika tiada rotan, akar juga berguna', kehadiran Kobe Jae disebut bakal perkuat Gergasi Merah
BACA LAGI: Bakal jadi warganegara, 3 kelab boleh bantu Kobe Jae jadi 'regular' Harimau Malaya
Gabungan DNA Eropah
Jika Chong memilih untuk tiba ke Selangor, ia pastinya akan menambah sengat dan tenaga di barisan tengah Selangor.
Lebih menarik, Selangor akan menerima dimensi baharu dengan gabungan DNA Eropah boleh terhasil apabila dia diletakkan bersama-sama seorang lagi pemain warisan iaitu Nooa Laine.
Chong yang beraksi di England boleh bergabung dengan pengalaman dimiliki Laine di Finland serta pernah bermain dalam kejohanan Eropah untuk menghidupkan jentera tengah Selangor.
Pastinya manfaat tersebut akan dinikmati Selangor dengan penyokong bakal melihat dua pemain tengah berkualiti beraksi untuk mereka.
Laine pernah beraksi di Finland. — Selangor FC
Masih muda
Ketibaan Chong pastinya menandakan komitmen Selangor bagi membina jentera tengah dalam kalangan pemain muda dan bertujuan jangka panjang.
Dengan Selangor mempunyai pilihan untuk mendapatkan Laine secara tetap selepas tempoh pinjamannya berakhir musim ini, Selangor boleh merangka pelan jangka panjang membina barisan tengah yang diterajui dua nama tersebut.
Mereka juga masih muda jadi masih ada masa untuk membina kekuatan sebelum ia mencapai kemuncaknya beberapa tahun kemudian.
Yang penting, Nidzam Jamil harus memainkan peranan penting dalam membentuk gandingan dua pemain ini.
Pewaris The Engineer
Kedatangan Chong boleh dilihat sebagai pelan transisi Selangor di bahagian tengah bagi menggantikan Noor Al-Rawabdeh.
Noor sedang di puncak kariernya dan Selangor sedang menikmati manfaat daripada itu. Namun begitu, sejak Piala Asia 2023, profilnya semakin meningkat.
Saham tinggi Noor boleh buatkan dia tinggalkan Selangor pada bila-bila masa. — Selangor FC
Oleh itu, potensi untuk Noor meninggalkan Selangor untuk kelab lain boleh berlaku. Jadinya, Selangor dilihat bijak dalam menyediakan penggantinya seawal mungkin.
Selangor dilihat sebagai destinasi sesuai untuk Chong. Namun begitu, jika perjanjian bersama Gergasi Merah tidak menjadi, Chong boleh menjadikan Terengganu FC sebagai alternatif.
Dengan pasukan dilihat stabil serta kompetitif, Terengganu juga boleh membantu Chong mengembangkan bakatnya sebagai pemain tengah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram