‘Buruk dah satu hal, make it right’, pakaian rasmi skuad Olimpik dikecam, KBS kata tanggungjawab MOM


  • Podium
  • Isnin, 24 Jun 2024

Pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 menerima kritikan hebat. — MOM

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) melancarkan pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 pada Ahad dengan badan tersebut memilih Yonex Sunrise sebagai pengeluar.

Mengenakan warna kuning dan hitam sebagai tema warna, ia bagaimana pun menerima kritikan hebat daripada pengikut sukan tempatan kerana coraknya yang tidak menarik.

Corak pakaian yang bakal dipakai oleh atlet negara di Paris, Perancis dianggap "buruk" hinggakan mereka mahu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengambil tindakan.

BACA LAGI: Tiada ruang buat atlet gagal capai KPI ditetapkan RTG — Hannah Yeoh

BACA LAGI: Bola sepak akan menunggu Faisal Halim — Hannah Yeoh

Namun begitu, Hannah berkata keputusan tersebut dilakukan oleh MOM dan bukannya dalam bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia ke Temasya Pelbagai Sukan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Olimpik Malaysia. Ini merupakan hasil kerjasama antara Yonex dan ia di luar bidang kuasa KBS dan MSN," kata Hannah.

Selain rekaan pakaian yang dianggap buruk, terdapat satu perkara yang mengundang kritikan pedas pengikut sukan tempatan melibatkan warna Jalur Gemilang.

Dalam rekaan tersebut, warna Jalur Gemilang yang sepatutnya menggunakan merah, putih, biru dan kuning ditukarkan kepada emas.

"(Pakaian) buruk dah satu hal. Bendera tu dah kenapa tukar warna?," soal penyokong bernama Noah.

"Sekurang-kurangnya warna bendera asal la YB. Mana boleh bendera tukar warna emas macam tu. Bawa nama Malaysia, bendera dah macam bukan Malaysia. Ini bukan pertandingan kecil, ini Sukan Olimpik. Nak layak ke Sukan Olimpik punya payah nak jadi wakil bawa nama Malaysia. Sekali bendera pun entah apa-apa," kritik @jiwonieranika.

"Sekurang-kurangnya tukar balik warna Jalur Gemilang yang betul. Ikut warna asal. Bendera kebangsaan mewakili negara itu sendiri dan maksud di sebaliknya. MAKE IT RIGHT," ujar Daphne Thong Wee.

Rentetan kritikan yang diberikan, KBS tampil memberi penjelasan yang tanggungjawab menguruskan pakaian rasmi Malaysia ke Sukan Olimpik adalah bidang kuasa MOM sejak 1954.

"Perlu dijelaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan tidak memutuskan reka bentuk pakaian rasmi untuk Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kerana ia adalah di bawah bidang kuasa MOM.

"Penentuan pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik adalah bidang kuasa MOM selaku Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (National Olympic Committee) yang diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (International Olympic Committee) sejak 1954.

"Pakaian rasmi Kontinjen Malaysia disediakan oleh syarikat Yonex yang mempunyai kontrak selaku penaja rasmi MOM dan reka bentuknya diluluskan oleh Lembaga Pengarah MOM yang mengambil inisiatif menggunakan reka bentuk baharu khas bagi temasya di Paris nanti," kata KBS.

Sementara itu, MOM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kritikan tersebut setakat artikel ini ditulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram