Empat nelayan hilang bot terbalik di Segenting akibat cuaca buruk


  • 112
  • Sabtu, 22 Jun 2024

MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op CARILAMAT dalam operasi pencarian mangsa terlibat. — Maritim

EMPAT nelayan dikhuatiri hilang, manakala seorang lagi selepas bot dinaiki mereka terbalik dan tenggelam akibat cuaca buruk kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat, Johor pada Jumaat.

Sementara itu, salah seorang nelayan yang turut bersama mereka ditemui dan diselamatkan bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Mohd Hanis Mohd Yunus berkata, kejadian itu melibatkan nelayan berusia antara 43 hingga 63 tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Satu-satunya mangsa terselamat tragedi bot karam di Kapit meninggal dunia

BACA LAGI: Doa isteri termakbul, mangsa terakhir bot karam Kapit ditemukan terapung lepas 9 hari

Menurutnya, bot tersebut terbalik disebabkan ombak besar yang melanda laut itu pada pukul 6 pagi.

"Pihak Maritim menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) semua mangsa setelah menerima aduan daripada orang awam.

“Maklumat awal kejadian, bot nelayan itu dinaiki lima kru keluar ke laut untuk memukat ikan, namun cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

“Sejurus menerima maklumat itu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan Op CARILAMAT pada 9 pagi dan Bot Penggalang 30 dari Zon Maritim Batu Pahat diatur gerak ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Hanis memaklumkan, sebaik tiba di lokasi kejadian, bot nelayan itu dilihat sudah hampir tenggelam sepenuhnya.

Jelasnya, seorang mangsa berusia 43 tahun diselamatkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.

“Operasi pencarian diperluaskan dengan penambahan radius kawasan kepada 23 batu nautika persegi.

“Selain Maritim Malaysia, operasi itu juga dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM),” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram