Bola sepak akan menunggu Faisal Halim — Hannah Yeoh


  • Primer
  • Khamis, 13 Jun 2024

Hannah (kiri) mahu Faisal fokus proses rawatan kecederaan yang dialaminya.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu pemain sayap kebangsaan, Muhammad Faisal Halim fokus pada proses rawatan sebelum kembali beraksi dengan skuad kebangsaan.

Hannah yang ditemui pada program pengenalan pasukan e-Sukan senior pertama Malaysia, eMAS, berkata, beliau tidak mahu Faisal tergesa-gesa kembali bermain bola sepak dan mahu permata negara itu memberikan sepenuh tumpuan sebelum beraksi semula.

BACA LAGI: Ulangi skrip Adib Raop, ubi Sri Pahang dan bintang muda JDT wajar diberi peluang 'first timer'

BACA LAGI: 'Lebih baik duduk bench JDT', penyokong persoal corak permainan anak jati Kedah di HM

“Saya tidak risau pasal kesihatan mental dan bagaimana dia kembali semula ke sukan.

“Saya mahu pastikan dia (Faisal) betul-betul pulih sebelum bermain kerana saya rasa bola sepak akan menunggu Faisal.

“Faisal jangan tergesa-gesa, pastikan betul-betul sembuh kerana bola sepak masih memerlukan dia,” katanya ketika ditemui Majoriti.

Tambahnya lagi, sebelum ini beliau ada melawat Faisal dan tidak mahu mengganggu pemain berusia 26 tahun itu dalam proses pemulihan.

“Selepas lawatan pertama saya jumpa Faisal selepas kejadian (simbahan asid) dia banyak fokus pada rawatan.

“Saya tidak pergi kali kedua kerana tidak ingin ganggu Faisal berehat dan fokus untuk pemulihan,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, rindu peminat bola sepak tanah air ke atas Faisal bakal terlerai apabila tonggak Harimau Malaya akan muncul buat kali pertama pada Khamis selepas menjadi mangsa simbahan asid bulan lalu.

Menerusi jemputan kepada media, Faisal yang juga pemain kebangsaan menghadiri sidang media khas di Shah Alam bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai tahap kesihatannya.

Sidang media yang dianjurkan Selangor FC itu bagaimanapun akan dijalankan dengan proses ketat.

Untuk rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi kian stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram