Masih belum terima jawapan, fans JDT persoal tarikh 'refund' tiket Piala Sumbangsih


  • Podium
  • Ahad, 02 Jun 2024

Penyokong merupakan tulang belakang skuad Harimau Selatan sejak diperkenalkan lebih 10 tahun lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SERANGAN simbahan asid terhadap Faisal Halim disusuli ugutan terhadap pihak pengurusan Selangor FC merupakan punca utama aksi Piala Sumbangsih dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dibatalkan 10 Mei lalu.

Keputusan skuad Gergasi Merah itu menimbulkan pelbagai persoalan dengan penyokong bola sepak tempatan mempertikaikan pendirian mereka untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Pengikut setia JDT merupakan pihak yang paling terkesan dalam perkara berkenaan memandangkan majoriti daripada mereka sudah tidak sabar untuk memberi sokongan tidak putus sepanjang perlawanan.

BACA LAGI: Kelab Liga M wajar belajar dengan 'JDT Singapura' cara tarik pemain import berkualiti dari Eropah

BACA LAGI: 'Dia ada apa JDT perlukan', import baharu Harimau Selatan dilabel pengganti ideal Leandro

441188331_1012533123575997_6525328133129766375_n

Dua kaedah diberikan JDT kepada penyokong yang sudah membeli tiket untuk aksi Piala Sumbangsih. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Selain sudah merancang perjalanan, masing-masing sudah tentu membeli tiket untuk menonton perlawanan antara dua pasukan teratas dalam Liga Super 2023.

Jadi, dengan perlawanan terbabit sudah dibatalkan, penyokong pastinya mahu duit pembelian dipulangkan semula dengan JDT sendiri tampil memberikan jaminan untuk berbuat demikian.

Malah, kelab termasyhur dalam arena bola sepak tempatan itu turut memberikan pilihan apabila pembeli boleh menggunakan tiket dibeli untuk aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim menentang Negeri Sembilan FC (18 Mei) atau Sri Pahang FC (22 Jun).

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian di media sosial, ada dalam kalangan penyokong skuad Harimau Selatan meluahkan kekecewaan kerana mereka masih tidak menerima wang yang sudah dikeluarkan.

Meskipun sudah menghubungi pihak pengurusan kelab Selatan tanah air itu, masing-masing dikatakan masih belum dapat memberikan jawapan atas perkara berkenaan.

442414258_1014749940020982_333816747654344601_n

JDT turut memberikan panduan mengenai cara-cara mendapatkan bayaran balik tiket. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Ya, kami pun masih menunggu. Suami saya dah telefon dan hantar emel, tak dapat apa-apa jawapan pun," kata Sarina Beewi.

"Sama juga di sini. Saya beli RM150 dan perlu membayar RM162, rugi RM12 tu boleh diterima lagi. Kalau RM162 tidak diterima semula, akan susahkan semua pihak," kata Fakhrul Haziq.

"Betul lah tidak diterima lagi, senyap begitu sahaja," kata Epul.

Namun, di sebalik keluhan itu, masih terdapat segelintir penyokong lain yang tampil menenangkan keadaan dengan masing-masing percaya JDT tidak akan melupakan hal berkenaan.

Setakat ini, pasukan kendalian Hector Bidoglio itu masih mendapatkan sokongan tidak putus dengan lebih 19,000 penyokong hadir ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC pada 18 Mei.

Ia turut diteruskan pada perlawanan ketiga Liga Super 2024/25 apabila pasukan itu menerima kehadiran ratusan penyokong di Stadium Cheras, Kuala Lumpur (KL) ketika menentang skuad Warga Kota.

Majoriti sedang mendapatkan respons Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung perkara itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram