SKUAD Piala Thomas Malaysia berjaya mencipta rekod yang baik apabila berjaya mara sehingga ke separuh akhir sebelum tumpas kepada China 1-3.
Pencapaian tersebut dianggap baik kerana ia merupakan kedudukan podium (podium finish) pertama Malaysia dalam Piala Thomas dalam tempoh lapan tahun.
Pemain-pemain negara yang bakal ke Sukan Olimpik 2024 seperti Lee Zii Jia dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dalam momentum terbaik untuk membantu Malaysia memburu pingat emas pertama di temasya tersebut.
BACA LAGI: Piala Thomas: Malaysia terus kempunan ke final, apatah lagi juara
Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin antara yang menyerlah di Piala Thomas. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Kegembiraan berjaya mendapatkan podium sudah dirasai, selepas ini apa pula untuk Malaysia? Walaupun berjaya memperoleh podium, penantian trofi Piala Thomas masih berterusan dengan kali terakhir ia didakap pada 1992.
Adakah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya akan berpuas hati dengan pencapaian podium, atau trofi yang jadi idaman? Jika kejuaraan yang dimahu, kerja keras perlu bermula sekarang menurut bekas pemain negara, Roslin Hashim.
Roslin mengatakan, BAM perlu bergerak pantas melaksana program-program berkaitan supaya Malaysia dapat mempersiapkan pasukan ampuh di Piala Thomas seterusnya.
"Pada pendapat saya, apa yang perlu dilakukan, (BAM) perlu terus mencari bakat-bakat yang berkualiti. Kerana ini bukan perkara baharu, lepas Piala Thomas berakhir, akan kedengaran isu yang sama hampir berpuluh tahun lamanya.
"Sekarang ini, BAM perlu lebih agresif mencari bakat yang benar-benar berkualiti dari peringkat junior lagi. Bukan masa kejohanan nak dekat, baru nak tercari-cari," kata Roslin kepada Majoriti.
BACA LAGI: [VIDEO] Piala Thomas: Malaysia kejutkan Jepun, Sze Fei-Izzuddin muncul wira ke separuh akhir
Projek menghasilkan pemain perseorangan berkualiti seperti Lee Zii Jia mesti bermula sekarang. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star
Roslin mengingatkan BAM untuk melihat bagaimana kuasa besar badminton dunia melakukan persiapan melahirkan juara.
Menurutnya, persiapan negara lain dilakukan dengan masa bertahun-tahun lamanya.
Jika persiapan yang dilakukan adalah berskala jangka masa pendek, katanya, ia dikhuatiri tidak akan menghasilkan impak diharapkan apabila Malaysia turut beraksi di gelanggang.
"Kalau tengok negara-negara lain pun, mereka telah lakukan persiapan selama lima, enam tahun sudah lakukan persiapan.
"Dalam kes Malaysia, kita terlalu fokuskan kepada pembangunan individu, kita tak fikir pasal team event ni. Jadi, untuk dapatkan satu pasukan yang ampuh, mesti cari seberapa banyak pemain yang terbaik di luar sana," jelas Roslin.
Edisi Piala Thomas yang seterusnya akan diadakan pada 2026 dengan Denmark dipilih menjadi tuan rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram