NASIB Faisal Halim yang tampil buat pertama kali pada Khamis sejak mengalami serangan asid bulan lalu amat meruntun hati peminat bola sepak tanah air.
Kecederaan fizikal dialaminya membuatkan ramai penyokong sebak dengan parut di muka dan tangan kanannya cukup jelas, apatah lagi berdasarkan kepingan foto yang dikongsikan sejurus selepas serangan.
Tidak cukup dengan itu, personaliti Faisal yang dahulunya girang dan ceria jelas berbeza apabila dia kelihatan sebak dan lebih mendiamkan diri sepanjang sesi sidang media berkenaan.
BACA LAGI: Bola sepak akan menunggu Faisal Halim — Hannah Yeoh
BACA LAGI: [VIDEO] Tiupan motivasi KPG buatkan Faisal Halim tak patah semangat
Chong Wei merupakan salah seorang ikon dalam dunia sukan negara.
Melihat keadaannya yang menyayat hati itu, pelbagai mesej membakar semangat diberikan dengan harapan pemain berusia 26 tahun tersebut dapat kembali segera.
Kisah menyedihkan itu turut menerima perhatian legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang memberikan kata-kata dorongan buat Faisal.
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemenang pingat gangsa dua Temasya Olimpik tersebut mengharapkan penyerang sayap berkenaan tabah akan nasibnya.
"Terus kuat Faisal Halim. Apa yang terjadi ada sebab, ALLAH tahu mengenai-Nya. Anda akan pulang dengan lebih. Sabar dan percaya. Fokus kepada proses pemulihan dan kami akan menunggu anda, Faisal," katanya.
Hantaran di media sosial Chong Wei yang mendoakan kesejahteraan Faisal.
Meskipun tidak pernah mengalami nasib sedemikian, Chong Wei pernah menghadapi kanser pada penghujung kariernya yang sudah pasti juga memberi kesan terhadap perjalanan hidupnya.
Berdasarkan laporan, Faisal akan berpeluang kembali beraksi sekurang-kurangnya sebulan setengah lagi meskipun dinasihati doktor untuk berehat bagi tiga ke enam bulan lagi.
Sepanjang tempoh menerima rawatan, Faisal menjalani empat pembedahan untuk menggantikan kulit yang terkesan daripada simbahan asid tersebut.
Sehingga kini, pelaku dan dalang di sebalik kejadian berkenaan masih belum dikenal pasti dengan orang ramai mengharapkan kes tersebut dapat diselesaikan segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram