ISU tunggakan gaji dalam kalangan kelab Liga Malaysia (Liga M) dilihat tiada penghujungnya. Setiap musim, ada saja kelab yang dilaporkan mengalami masalah tersebut.
Sampai bila hendak macam ni? Sekali dua, kita boleh terima tapi jika ia ibarat acara rasmi setiap musim, itu bukanlah perkara kita boleh banggakan.
Ia ibarat tiada penawar, tetapi sebenarnya boleh dirawat. Caranya adalah dengan melakukan 'reset' kepada pasaran pemain Liga Malaysia.
BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing
Pendekatan 'reset the market' mesti dilakukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) supaya dapat membantu kelab daripada terus mengalami masalah kewangan saban musim.
Umum mengetahui yang Liga M merupakan saingan yang membayar gaji yang tinggi di Asia Tenggara. Dek kerana itu, ia menyebabkan ramai pemain berminat untuk beraksi di dalam negara.
Kedah antara kelab yang sering terpalit isu gaji. — Kedah Darul Aman FC
Namun begitu, tawaran gaji tinggi tidak seiring dengan kemampuan kelab. Kelab sering tidak lestari dalam kewangan mereka dan selalu terperangkap dengan isu kewangan.
Oleh itu, MFL perlu melakukan tindakan drastik dengan memperkenalkan sistem gaji lantai dan gaji siling kepada semua kelab. Dengan ini, setiap kelab akan membayar gaji yang setara.
Sebagai contoh, gaji lantai pemain di Liga M boleh ditetapkan kepada RM5,000 dan gaji siling RM50,000 untuk semua kelab. Namun begitu, mekanisme berbeza boleh digunakan untuk pemain-pemain tertentu. Misalnya, jika seorang pemain import berkelas tinggi, tingkat gaji siling itu boleh dipanjangkan kepada RM100,000.
Terma 'berkelas tinggi' itu harus diperincikan oleh MFL. Sebagai contoh, pemain yang sedang berada dalam skuad kebangsaan dan pernah beraksi dalam liga lebih bagus atau berpengalaman beraksi di kejohanan benua boleh digelar sebagai 'berkelas tinggi'.
Saingan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat menggunakan sistem gaji siling. — Agensi
Jika mekanisme ini digunakan, ia mungkin dapat menyelamatkan banyak kelab yang kantungnya tidak besar tetapi untuk pasukan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), barangkali idea ini tidak diterima.
Hal ini kerana, pendekatan sebegini dilihat seakan menyekat kelab untuk bebas berbelanja jika mereka mampu untuk melakukannya.
Dalam situasi ini, MFL harus bijak merangka mekanisme ini supaya dapat diterima baik kelab stabil seperti JDT atau pasukan lain yang bergelut dengan masalah kewangan.
Pemain bola sepak di negara ini dianggap overpaid dan perlu dikaji semula. MFL perlu bertindak segera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram