'Jika tiada rotan, akar juga berguna', kehadiran Kobe Jae disebut bakal perkuat Gergasi Merah


  • Podium
  • Isnin, 24 Jun 2024

Kobe Jae dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai skuad Gergasi Merah selepas menjalani 'trial' di pasukan itu.

KHABAR angin kencang di media sosial mengatakan Selangor FC hampir untuk mendapatkan pemain kacukan yang beraksi di liga bawahan England, Kobe Jae Chong.

'Ubi muda' yang baru sahaja berusia 22 tahun berkenaan dilabel sebagai salah seorang prospek terbaik tanah air kerana sudah bertahun-tahun meraih pengalaman di luar negara.

Bagaimanapun, terdapat kesangsian akan kualiti dimilikinya kerana Kobe Jae tidak memiliki rekod memberangsangkan sepanjang kariernya berdasarkan pasukan pernah disertainya.

BACA LAGI: Kad merah Alex timbulkan persoalan, tapi fans Perak lebih geram dengan Lee Tae-min

BACA LAGI: Terlalu cintakan Selangor punca legenda selamba tolak offer kelab gergasi Eropah

Prof-Madya-Dr-Zulakbal-Abd-Karim

Zulakbal yakin akan kemampuan Kobe Jae yang bertahun-tahun beraksi di England.

Selain itu, kekurangan statistik sepanjang kariernya membuatkan sukar buat penyokong skuad Gergasi Merah mengetahui kualiti dan kebolehannya yang sebenar.

Namun, ada pula yang beranggapan Kobe Jae mampu membawa nafas baharu terhadap kelab Lembah Klang tersebut, termasuk pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

Menurutnya, tahap kompetitif pernah diharungi pemain tengah tersebut ketika di England dan Itali sudah cukup untuk mempersiapkannya dalam memberikan aksi terbaik buat skuad kendalian Nidzam Jamil.

"Ini adalah satu usaha pengurusan Selangor FC memperkuatkan pasukan meskipun ia masih berstatus khabar angin. Saya percaya jika ia direalisasikan, kehadirannya boleh memperkukuhkan skuad Gergasi Merah.

"Walaupun hanya bermain dalam liga bawahan di England, ia mempunyai tahap lebih tinggi kerana di negara itu, terdapat lambakan pasukan yang boleh berdaya saing," katanya kepada Majoriti.

449055468_18438481579006712_1802722540721105162_n

Skuad Gergasi Merah boleh dianggap pasukan kedua terbaik dalam Liga Super musim ini. Facebook/Selangor FC

Berdasarkan perkembangan terbaru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon mengesahkan Kobe Jae sedang menjalani sesi percubaan bersama pasukan itu.

Tetapi, keputusan akhir masih belum diambil memandangkan skuad Gergasi Merah tidak mahu terburu-buru dalam mendapatkan pemain tersebut bagi saingan musim ini.

Dalam pada itu, Zulakbal yang merupakan Profesor Madya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berasakan pengalaman lalu membuktikan pemain import dengan tempoh beraksi di England memiliki kualiti tersendiri.

"Saya fikir jika ada pemain dari negara itu, bukannya semua pernah bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana kelab tanah air tidak mampu menanggung kos mereka.

"Jadi, ibarat kata pepatah, jika tiada rotan, akar juga berguna. Saya juga pasti Selangor FC sudah hantar pemerhati (scout) untuk melihat kebolehannya di sana (England)," katanya.

Antara pasukan pernah diwakili Kobe Jae sepanjang kariernya merupakan Kettering dan King's Lynn dan pasukan Bawah 17 Tahun (B-17) West Bromwich Albion. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram