BERITA gembira buat penyokong bola sepak tanah air apabila pemain yang ditunggu-tunggu iaitu Kobe Jae Chong dikhabarkan dalam proses terakhir untuk menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.
Kobe Jae tanpa berselindung memberi bayangan bahawa akan tiba di Malaysia Jun ini selepas dia memuat naik komen di laman Instagram penyokong tanah air, FutureTalents yang berkongsi mengenai khabar angin berkenaan.
Pemain tengah berusia 22 tahun berkenaan kini kembali ke kelab England, King’s Lynn di National League South (Divisyen 6) setelah tamat pinjaman bersama Kettering Town pada Mei ini.
BACA LAGI: Tak dipanggil Kim Pan-gon, Sergio Aguero bakal kendali skuad akademi
BACA LAGI: Reziq Bani Hani, Saddil Ramdani antara 4 bintang tumpuan bakal tunjuk belang di Indonesia
Susulan khabar angin bakal menyarung jersi Harimau Malaya berkenaan, ramai penyokong menganggap bahawa Kobe Jae boleh mengubah angin baharu dengan menyertai pasukan Liga Malaysia (Liga M).
Penghijrahan ke kelab domestik bukan hanya memberi Kobe Jae peluang minit permainan yang banyak malah boleh membantu mengeluarkan potensi sebenarnya sebagai seorang pemain untuk menjadi tonggak teras Kim Pan-gon.
Dengan kontraknya yang akan berakhir pada Mei ini, terdapat beberapa kelab domestik boleh mula beratur untuk menawarkan kontrak dan memanfaatkan kepakaran pemain muda ini pada saingan Liga M.
Sambil menunggu detik Kobe Jae mendapat kewarganegaraan Malaysia, Majoriti menyenaraikan tiga kelab yang boleh membantu Kobe Jae menjadi pemain tetap Harimau Malaya;
1) Sri Pahang
Azam Azih pemain tengah kreatif berpengalaman Sri Pahang. — Facebook/SriPahang
Nama Kobe Jae mula popular pada saingan musim 2022 apabila bekas pemain akademi West Bromwich Albion berkenaan dikatakan bakal beraksi dalam Liga Super dengan menyertai Sri Pahang FC.
Kobe Jae dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei 2022.
Namun, khabar angin berkenaan berlalu begitu sahaja apabila Kobe Jae lebih memilih untuk menyertai kelab divisyen tujuh England iaitu AFC Telford United pada jendela perpindahan Julai 2022.
Sekiranya Sri Pahang ingin menyambung semula niat mereka membawa masuk Kobe Jae, ia masih waktu yang sesuai susulan skuad Tok Gajah kini hanya memiliki Azam Azih sebagai central midfield.
Dengan maestro Tok Gajah semakin berusia, pihak pengurusan dan kejurulatihan Sri Pahang sudah boleh bersedia untuk membawa Kobe Jae sebagai pengganti pemain tengah kreatif untuk pasukan Pantai Timur itu.
2) Selangor FC
Nooa (kanan) pemain campuran yang sedang beraksi untuk Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC
Selangor FC juga antara kelab yang sesuai untuk membawa pemain muda seperti Kobe Jae apabila pengendali kini, Nidzam Jamil dilihat gemar memberi peluang kepada pemain muda untuk meraih minit permainan.
Antara pemain muda yang juga tonggak campuran bermain untuk Gergasi Merah adalah Nooa Laine dengan kini dia sudah mendapat peluang beraksi dalam dua perlawanan sebagai kesebelasan utama Selangor.
Walaupun sekadar beraksi di saingan liga bawahan namun pengalamannya beraki dengan beberapa pasukan di Eropah membuatkan ketika bermain dengan pasukan luar negara boleh menguatkan jentera tengah pasukan.
Antara pengalaman menarik pemain warisan Malaysia-Jamaica ialah pernah menyertai pasukan skuad muda kelab Serie A, Cagliari dan bermain menentang pemain muda terbaik dari Juventus, AC Milan serta Inter Milan.
Selangor tergolong dalam kalangan pasukan gergasi selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) dan secara tidak langsung akan menjadi lubuk pemain buat pasukan kejurulatihan Harimau Malaya mencari barisan tonggak.
3) Kedah Darul Aman (KDA) FC
Kedah masih bergelut untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. — Facebook/KDAFC
Skuad Sang Kenari yang kini dirundung dengan masalah kewangan namun masih ingin mendapatkan pemain berkualiti boleh cuba merekrut pemain muda seperti Kobe Jae pada jendela perpindahan seterusnya.
Meskipun Kobe Jae banyak bermain di luar negara namun nilai pasarannya tidaklah terlalu mahal jika dibandingkan dengan pemain tengah muda lain seperti Nooa Laine yang bernilai €200,000 (RM1 juta).
Jika dilihat senarai pemain tengah Kedah, rata-ratanya bernilai kira-kira €100,000 ke atas seperti Amirul Hisyam yang mempunyai harga pasaran sebanyak €175,000 (RM865,000). Kobe Jae pula dianggarkan hanya bernilai €100,000 (RM508,000) sahaja.
Nilai tersebut hanyalah anggaran semata-mata selepas melihat pengalaman Kobe Jae bermain dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan sumbangannya bersama bekas pasukannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram