MASALAH gaji tertunggak dalam kalangan kelab Liga Malaysia (Liga M) masih meruncing dan tiada tanda untuk pulih.
Musim ini saja, terdapat beberapa kelab sudah mengalami krisis tunggakan gaji walaupun belum masuk separuh saingan 2024/2025.
Kuala Lumpur City FC, Sabah FC, Sri Pahang FC antara beberapa kelab yang mengalami masalah tersebut yang menyaksikan dengan situasi tersebut, liga negara ini berdepan potensi untuk melingkup.
BACA LAGI: Liga M sedang tenat, jangan malu langkah ke belakang
BACA LAGI: Liga Malaysia bakal melingkup tidak lama lagi? Penganalisis jangka hanya 3 pasukan kekal bersaing
Sadek Mustaffa.
Melihat kepada keadaan itu, amat penting untuk semua pihak terutamanya penganjur liga iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan kelab-kelab untuk memperbaiki kualiti pengurusan.
Menurut penganalisis sukan negara, Sadek Mustaffa berkata, isu ini berakar umbi sejak lamanya dan itu adalah perkara yang perlu diubah.
"Liga kita dari zaman 1990-an hingga kini berada dalam kitaran individu yang kurang integriti dan kebijaksanaan dalam membangunkan sukan bola sepak dari akar umbi hingga pasukan kebangsaan dan liga negara.
"Yang penting, kena back to basic," kata Sadek kepada Majoriti.
Sadek menolak idea untuk bola sepak negara mengalami transformasi secara keseluruhan kerana pada hematnya, struktur bola sepak Malaysia sudah baik tetapi tidak mempunyai orang kompeten untuk mengendalikannya.
Menurutnya, negara tidak perlu terikut-ikut untuk mengikuti modul liga yang lebih besar dan amat stabil seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), saingan J. League di Jepun atau Major League Soccer (MLS) dekat Amerika Syarikat.
Liga Malaysia berbeza dari segi jumlah pasukan, struktur pertandingan, jumlah peminat, penajaan dan tadbir urus serta kepimpinan. — Gambar hiasan
"Kita perlukan model liga yang sesuai dengan ruang lingkup kelab yang bertanding serta skop penajaan yang hadir bukan mengurus liga macam dapat tajaan berbilion ringgit, tapi realitinya sikit saja.
"Model negara lain berbeza dari aspek jumlah pasukan, struktur pertandingan, jumlah peminat, penajaan dan tadbir urus serta kepimpinan," jelas Sadek.
Sebelum ini, terdapat cadangan daripada penyokong supaya kelab-kelab untuk kembali dinaungi oleh kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh Penang FC dan Terengganu FC.
Namun begitu, cadangan itu ditolak oleh Sadek kerana ia adalah tindakan mengundur ke belakang.
"Bernaung di bawah kerajaan negeri bermakna hilangnya profesionalisme dalam tadbir urus kelab dan mereka bukan kelab tetapi persatuan bola sepak (FA).
"Persoalannya, sanggupkah MFL juga lenyap? Dan liga kembali kepada semi-pro?," soal Sadek. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram