Selangkah ikut Indonesia, 2 pemain darah campuran dalam fasa akhir sertai Harimau Malaya?


  • Podium
  • Khamis, 30 Mei 2024

Wan Kuzain sudah mencetak dua gol dalam 10 penampilan dia diturunkan bersama St. Louis City 2. — Instagram/wankuzain

ISU kekurangan pemain dalam skuad kebangsaan akan selesai tidak lama lagi apabila Harimau Malaya dikhabarkan menerima khidmat dua tonggak yang sedang berkelana untuk bersama-sama memperkuatkan lagi pasukan bola sepak tanah air.

Menerusi khabar angin yang sedang meniti di bibir penyokong domestik, dua pemain berpangkalan di luar negara iaitu Kobe Jae Chong dan Wan Kuzain Wan Kamal dalam fasa akhir untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Hal ini kerana, proses dokumentasi kedua-dua mereka dikhabarkan sedang berada dalam proses terakhir dan sekiranya ia berjalan lancar, Kim Pan-gon akan berpeluang menguji kemahiran Wan Kuzain serta Kobe Jae.

BACA LAGI: Bapa sekali lagi bagi ‘hint’, Wan Kuzain makin hampir sarung jersi Harimau Malaya

BACA LAGI: Malaysia ketinggalan, Indonesia selangkah rekrut penjaga gol Inter Milan bagi projek naturalisasi

Kobe Jae juga tanpa berselindung memberi bayangan bahawa akan tiba di Malaysia Jun ini selepas dia memuat naik komen di laman Instagram penyokong tanah air, FutureTalents yang berkongsi mengenai khabar angin berkenaan.

Pemain tengah berusia 22 tahun berkenaan kini kembali ke kelab England, King’s Lynn di National League South (Divisyen 6) setelah tamat pinjaman bersama Kettering Town pada Mei ini.

Khidmat pemain warisan Malaysia-Jamaica itu ditagih kerana mempunyai banyak pengalaman dengan pernah menyertai pasukan skuad muda kelab Serie A, Cagliari dan bermain menentang pemain muda terbaik dari Juventus, AC Milan serta Inter Milan.

Manakala, proses dokumentasi Wan Kuzain turut didedahkan oleh FutureTalents apabila laman berkenaan mendedahkan pemain St. Louis City 2 itu akan memperkuatkan bahagian tengah Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.

Pemain yang beraksi untuk saingan divisyen tiga di Amerika Syarikat (AS) itu mampu bermain sebagai pemain tengah bertahan, tetapi dia juga boleh beraksi di posisi pemain tengah (central midfield) dan sayap kanan.

Sekiranya proses Kobe Jae dan Wan Kuzain untuk mendapatkan passport Malaysia selesai, skuad bola sepak Malaysia akan memasuki era baharu apabila pasukan akan diperkuatkan dengan khidmat bintang warisan dengan usia yang muda.

Fasa peralihan yang akan menunjukkan tranformasi ini menunjukkan bahawa tidak lama lagi Malaysia selangkah mengikuti Indonesia yang agresif mencari dan mendapatkan pemain berdarah campuran untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.

Setakat era kejurulatihan Tae Yong, terdapat 11 pemain yang telah dinaturalisasikan iaitu Marc Klok, Jordi Amat, Sandy Walsh, Shayne Pattynama, Ivar Jenner, Rafael Struick, Justin Hubner, Jay Idzes, Thom Haye, Nathan Tjoe-A-On, dan Ragnar Oratmangoen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram