Bakal buat rundingan dengan beberapa kelab, Selangor dan Pahang destinasi terbaik Kobe Jae gegar Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 18 Jun 2024

Kobe Jae (kiri) dilaporkan diburu beberapa pasukan Liga Super. — Instagram/KobeJae

KEHADIRAN Kobe Jae Chong di tanah air ibarat 'pisang goreng panas' apabila khidmatnya kini sedang dalam buruan beberapa pasukan Liga Super menjelang jendela perpindahan pada Ogos ini.

Menerusi hantaran di laman Instagram, pemain yang dikatakan memiliki darah Malaysia-Jamaica itu berkongsi ketibaannya di tanah air dengan memuat naik foto di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Kunjungannya ke Malaysia bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila Kobe Jae sebelum ini memberi bayangan bahawa akan tiba di Malaysia Jun ini selepas dia memuat naik komen di laman Instagram penyokong tanah air, FutureTalents.

BACA LAGI: Pernah sertai Kedah, siapa pemain bersama Faisal Halim berlatih di England?

BACA LAGI: Luka Faisal Halim belum kering, sudah mula jalani fisio ringan — CEO Selangor

Lawatannya ke Malaysia itu pada awalnya dikatakan ingin menyelesaikan proses terakhir untuk membolehkan Kobe Jae menyarung jersi Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.

Selain urusan kewarganegaraan berkenaan, pemain berusia 22 tahun berkenaan juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa kelab Liga Super yang berminat untuk menggunakan khdimatnya.

"Kobe Chong berminat untuk beraksi dalam Liga Super. Tiba di Kuala Lumpur semalam (Ahad). Pemain warisan negara itu difahamkan bakal melakukan rundingan dengan beberapa kelab menjelang jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia, Ogos ini," memetik ciapan dari pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di laman X pada Isnin.

Walaupun identiti kelab berkenaan tidak diketahui namun kelab seperti Sri Pahang antara yang berpotensi merekrutnya kerana bekas pemain akademi West Bromwich Albion itu pernah dikaitkan dengan Tok Gajah pada musim 2022.

WhatsApp Image 2024-06-18 at 12.21.38 (1)

Tangkap layar Kobe Jae sudah tiba di Malaysia.

Desas-desus bermula setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei 2022.

Selain Sri Pahang, Selangor FC juga antara kelab yang sesuai untuk membawa pemain muda seperti Kobe Jae apabila pengendali kini, Nidzam Jamil dilihat gemar memberi peluang kepada pemain muda untuk meraih minit permainan.

Penghijrahan ke kelab domestik bukan hanya memberi Kobe Jae peluang minit permainan yang banyak malah boleh membantu mengeluarkan potensi sebenarnya sebagai seorang pemain untuk menjadi tonggak teras Kim Pan-gon.

Untuk rekod, kali terakhir bekas pemain muda kelab Serie A, Cagliari itu beraksi di England adalah bersama King’s Lynn dengan kontraknya difahamkan akan tamat pada 30 Jun 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram