SELANGOR FC sedia untuk bertanding di kejohanan jemputan antarabangsa, RCTI Premium Sports bersama-sama Sabah FC dan dua wakil Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Kejohanan empat penjuru melibatkan dua negara itu bakal menyaksikan tawaran hadiah wang tunai lumayan yang bakal dilangsungkan di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia dari 30 Mei hingga 2 Jun 2024.
Gergasi Merah dijadualkan bertemu Sabah FC dalam perlawanan pertama pada 30 Mei manakala Persija Jakarta dan PSIS Semarang akan beraksi dalam perlawanan kedua di sebelah malam.
BACA LAGI: Jelmaan Faisal Halim antara 4 pemain muda Selangor, Sabah berpeluang tunjuk taring di Indonesia
BACA LAGI: Kehilangan Rizal Ghazali dirasai, Saddil Ramdani bagai hilang kawan baik untuk 'score' gol
Majoriti senaraikan empat pemain yang boleh menjadi tumpuan dalam kejohanan empat penjuru yang akan berlangsung di Indonesia itu:
1. Taisei Marukawa (PSIS Semarang)
Pemain import PSIS Semarang, Taisei Marukawa bakal menjadi pemain tumpuan dalam Piala RCTI selepas dia tampil cemerlang musim ini bersama skuad Laskar Mahesa Jenar.
Musim ini, Marukawa yang baru menyertai PSIS Semarang dari Persebaya Surabaya telah tersenarai antara lima pemain terbanyak menghasilkan bantuan jaringan gol dalam Liga Indonesia.
Pemain sayap kiri itu berjaya merekodkan 11 bantuan jaringan dalam 30 penampilannya bersama PSIS Semarang musim ini.
Bukan itu sahaja, pemain yang pernah berkelana di bumi Eropah bersama Senglea Athletic FC dan Valletta FC turut mempunyai pengalaman beraksi dalam kelayakan Liga Europa pada musim 2020/21.
2. Ryo Matsumura (Persija Jakarta)
10 jaringan dan 10 'assist' telah membuktikan bahawa Ryo Matsumura antara pemain yang perlu diberi perhatian dalam kejohanan empat penjuru yang akan berlangsung di Indonesia itu.
Pemain yang menyarung jersi nombor tujuh bersama Persija Jakarta itu berpengalaman beraksi dengan beberapa kelab besar sekitar Asia.
Antara pasukan yang pernah diwakili Matsumura ialah BG Pathum United, Vissel Kobe serta Persija Jakarta musim ini.
Pertembungan hebat di bahagian tengah pasti akan menarik perhatian ramai jika dua kelab Liga Malaysia bertemu dengan Persija Jakarta dalam kejohanan itu.
3. Reziq Bani Hani (Selangor FC)
Pemain sensasi baharu Selangor FC, Reziq Bani Hani pastinya menjadi bintang tumpuan penyokong Gergasi Merah.
Ini kerana penyokong Gergasi Merah belum puas untuk menyaksikan corak permainan pemain berusia 22 tahun itu kerana sering dimasukkan pada lewat permainan Liga Super.
Dalam dua perlawanan terakhir, Reziq telah memberikan impak positif ketika berdepan Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC.
Malah dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan, Reziq telah menjaringkan gol debut buat Gergasi Merah sekali membantu pasukannya mengutip tiga mata penuh dengan keputusan 4-0 pada Ahad.
4. Saddil Ramdani (Sabah FC)
Bakal pulang ke kampung halaman, Saddil Ramdani pastinya menjadi tonggak utama Sang Badak untuk mengharungi kejohanan Piala RCTI di Indonesia minggu ini.
Pemain sayap kelahiran Indonesia itu, telah melakukan tugas yang baik untuk membantu Sabah melangkah lebih jauh dalam Piala AFC musim lalu.
Musim ini, Saddil kekal dengan prestasi terbaiknya apabila berjaya membantu Sang Badak mengutip tujuh mata penuh selepas menewaskan Kuching City dan Kelantan United.
Walaupun tidak digemari di Indonesia, Saddil tetap menjadi pemain import paling bahaya dalam Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram