PENCARIAN pemain warisan semakin giat dilakukan oleh 'headhunter' atau pemburu bakat dengan kelompok seperti ini mempunyai niat baik untuk melihat skuad kebangsaan dianggotai tonggak berkualiti.
Perkembangan terbaharu mengenai pemain kacukan yang akan menyarung jersi Harimau Malaya adalah Kobe Jae Chong dan Wan Kuzain Wan Kamal, difahamkan dalam fasa akhir untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Selain pencarian pemain warisan untuk skuad senior, pemburu bakat juga tidak melepaskan peluang memujuk beberapa prospek kacukan untuk bermain bersama pasukan Bawah 17 (B-17) tahun negara.
BACA LAGI: Pengarah Akademi JDT mahu guna khidmat 'ubi muda' kacukan termasuk pemain 'baka Haaland'
BACA LAGI: Selangkah ikut Indonesia, 2 pemain darah campuran dalam fasa akhir sertai Harimau Malaya?
Sekiranya pujukan mereka berhasil, kualiti para pemain warisan itu boleh dicuba ketika kempen Kelayakan Piala Asia B-17 dengan pengendali skuad B-1 negara iaitu Javier Jorda Ribera turut ingin menagih khidmat mereka.
Perkara tersebut disahkan oleh laman penyokong, frfuture talents selepas ia berkongsi tangkap layar perbualan mereka bersama ketua jurulatih berkenaan berhubung idea menggunakan pemain kacukan.
Sekiranya beberapa pemain muda campuran akan beraksi untuk kempen Kelayakan Piala Asia B-17, ia secara tidak langsung boleh menjadi medan untuk mencari pengganti pemain senior yang semakin berusia.
1) Sean Fetterlein

Fetterlein (kanan) baru sahaja menandatangani kontrak dengan FC Kobenhavn. — Instagram/Fetterlein
Sean Fetterlein dilahirkan dalam keluarga dikenali apabila ibunya merupakan penyanyi Denmark kelahiran Perak, Malaysia iaitu Saszeline Emanuelle Dreyer dan bapanya, pula merupakan bekas pemain tenis kebangsaan Denmark.
Dengan Fetterlein baru sahaja menandatangani kontrak dengan FC Kobenhavn pada baru-baru ini, peluang untuk dia mewakili Malaysia agak tipis kerana dia lebih akan memilih Denmark pada masa akan datang.
Namun, usaha rundingan masih boleh dilakukan oleh Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum Fetterlein memutuskan masa depannya sama ada sudi beraksi bersama Harimau Malaya atau sebaliknya.
Fetterlein yang beraksi sebagai central midfielder dan pemain tengah menyerang adalah prospek sesuai untuk menggantikan Brendan Gan, lagi-lagi kini tonggak Kuala Lumpur (KL) City itu sudah berusia 36 tahun.
2) Kim Johan Nyo Tagnander

Johan Nyo (kiri) memiliki pertalian darah Malaysia melalui ibunya. — Instagram/Johan
Kim Johan Nyo Tagnander dilahirkan di Kuala Lumpur dan dibesarkan di Pulau Pinang namun pada Disember ini, prospek tersebut kini beraksi bersama pasukan bawah 14 tahun kelab divisyen kedua Norway, FK Jerv.
Bukan itu sahaja, kelebihan yang ada pada diri ubi muda itu membuatkan Johan Nyo mampu bermain dengan pemain senior dan orang lebih berusia daripadanya, sekali gus mengambil pengalaman lebih banyak daripada mereka.
Johan Nyo yang beraksi di posisi tengah menyerang dan juga mampu bermain sebagai bek tengah itu dikatakan mempunyai ketinggian dan fizikal lebih besar berbanding rakan sebayanya.
Pemain berusia 14 tahun itu dilihat berpotensi untuk mengantikan Shahrul Saad sebagai bek tengah, selain berkemampuan untuk mengisi kekosongan Paulo Josue di bahagian tengah menyerang.
3) Joshua Ang

Joshua kini bermain bersama De Anza Force Soccer Club. — Instagram/Joshua Ang
Joshua Ang merupakan pemain kacukan Malaysia, Jepun dan Amerika Syarikat dengan dia mempunyai pertalian darah Malaysia dari ayahnya dan ibunya pula berasal dari negara Matahari Terbit.
Pemain muda berketinggian 1.78 meter berkenaan difahamkan beraksi dengan pasukan bawa 17 tahun De Anza Force Soccer Club iaitu sebuah kelab berpangkalan di California, Amerika Syarikat.
Menerusi tangkap layar perbualan frfuture talents bersama Joshua, pemain berusia 17 tahun berkenan juga mempertimbangkan idea untuk bermain bersama Malaysia pada Kelayakan Piala Asia B-17.
Memandangkan Corbin Ong sudah berusia 33 tahun, Joshua yang berperanan sebagai bek kiri boleh dibentuk lebih awal oleh FAM untuk menyamai kualiti pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
