
PELBAGAI momen menarik sudah disajikan kepada peminat setia bola sepak tanah air meskipun saingan Liga Malaysia baru sahaja berlangsung untuk kira-kira sebulan.
Empat perlawanan Liga Super dan satu aksi pusingan Piala FA sudah berakhir dengan kesemua perlawanan memberikan debaran cukup hebat buat penyokong.
Namun, perasaan berkenaan tidak dirasai kesemua kelab kerana terdapat terdapat sebahagian daripadanya yang bergelut untuk membawa pulang mata.
BACA LAGI: Selain Irfan Fandi, ada 2 lagi bintang Sang Garuda dalam radar kelab Liga Super
BACA LAGI: Kedah berebut dengan Selangor ingin dapatkan Irfan Fandi?
Selain itu, ada dalam kalangan 13 pasukan gagal menampilkan persembahan terbaik sehingga penyokong berasa berang dan kecewa setiap kali hadir ke stadium.
Jadi, untuk melahirkan rasa kecewa berkenaan, rata-rata daripada pengikut setia pasukan mendesak pihak pengurusan supaya menggugurkan ketua jurulatih.
Lebih mengejutkan lagi, terdapat juga kelab yang tidak begitu bergelut, namun persembahan mengecewakan membuatkan gesaan itu dibuat secara fizikal mahupun di media sosial.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pengendali Liga Super yang diharapkan supaya 'direhatkan' segera demi mengubah hala tuju pasukan.
1. Azzmi Aziz (Negeri Sembilan FC)
Awal musim lalu, skuad Jang mengambil keputusan menggugurkan jurulatih berpengalaman, K Devan dan membawa masuk Azzmi Aziz yang memiliki pengalaman dalam arena bola sepak tempatan.
Dia yang pernah mengendalikan Kedah FA dan PDRM FC pernah diberikan gelaran 'Giant Killer' kerana berjaya meraih keputusan mengejutkan ketika berdepan pasukan lebih berkualiti.
Namun, setakat empat perlawanan dihadapi, Negeri Sembilan FC boleh dikatakan bergelut dengan tiada sebarang kemenangan berjaya direkodkan pasukan itu.
Azzmi bergelut dalam tempoh awalnya buat skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Meskipun berjaya menerapkan gaya permainan cukup menarik, skuad Jang gagal menterjemahkannya untuk mencatatkan keputusan seperti mana diharapkan penyokong.
Prestasi mengecewakan itu diikuti desakan daripada orang ramai untuk menyaksikan pihak pengurusan Negeri Sembilan FC membuat keputusan melepaskan pengendali berusia 49 tahun tersebut.
Bagaimanapun, perkara berkenaan boleh dikatakan sedikit sukar dilaksanakan kerana ketiadaan calon sedikit sebanyak mendesak skuad Jang kekal mempercayai khidmatnya.
2. Fandi Ahmad (Sri Pahang FC)
Isu di luar padang jelas memberikan kesan mendalam terhadap semangat skuad Tok Gajah yang hanya membawa pulang empat mata dalam Liga Super.
Meskipun ada beranggapan pulangan itu tidaklah begitu mengecewakan, penyingkiran daripada saingan Piala FA membuatkan peminat setia Sri Pahang FC kecewa akan nasib pasukan.
Gaya permainan pasif dan tidak bersungguh-sungguh membuatkan ramai berasa perubahan perlu diambil demi memastikan masa depan pasukan kembali cerah.
Gaya permainan Fandi dilabel tidak lagi sesuai dengan keadaan hari ini. — Facebook/Sri Pahang FC
Salah satu langkah perlu diambil adalah dengan menggantikan pengendali, Fandi Ahmad yang dikatakan gagal menerapkan gaya permainan moden buat pasukan.
Desakan berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana jurulatih kelahiran Singapura itu sudah diharapkan meninggalkan skuad Tok Gajah sejak musim lalu lagi.
Sekiranya langkah tersebut diambil, terdapat kemungkinan Sri Pahang FC mampu kembali ke landasan dengan syarat pengganti dibawa masuk memiliki kredibiliti lebih meyakinkan.
3. Park Jae-hong (Kelantan Darul Naim)
Penyertaan Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam saingan Liga Super musim lalu membawa kemeriahan baharu kerana ia menandakan terdapatnya wakil kedua dari negeri Pantai Timur itu.
Namun, berdasarkan prestasi mereka, sukar untuk skuad Kijang Emas menarik perhatian kerana mereka amat bergelut untuk bersaing dengan pasukan lebih baik.
Masalah itu berulang sekali lagi musim ini selepas mereka masih belum meraih sebarang mata meskipun sudah membuat rombakan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan.
Jae-hong masih belum meraih kemenangan sulung buat skuad Kijang Emas. — Facebook/KDN FC
Tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super selain penyingkiran awal daripada Piala FA menyaksikan KDN FC semakin sukar untuk menarik kehadiran penyokong.
Jadi, untuk mengubah nasib pasukan, langkah paling sesuai diambil adalah dengan menggantikan jurulatih dari Korea Selatan, Park Jae-hong.
Meskipun desakan itu tidaklah begitu ditonjolkan dalam Liga Super, kelewatan membawa perubahan hanya akan menyulitkan keadaan pasukan di dalam mahupun di luar padang.
Bagaimanapun, skuad Kijang Emas masih boleh memberikan masa buatnya dengan harapan taktikal diterapkan mampu difahami segera baik dalam kalangan pemain lokal mahupun import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram