PRESTASI tidak menentu dialami Negeri Sembilan FC musim ini selepas mereka berada di kedudukan tercorot Liga Super dengan tiada mata diraih setakat tiga perlawanan.
Kekalahan 1-3 dalam aksi pembukaan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) disusuli dengan satu lagi keputusan mengecewakan ketika mereka bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor untuk berdepan skuad Gergasi Merah.
Persembahan meyakinkan pada aksi tersebut tidak membawa sebarang hasil apabila mereka tewas 0-4 dengan kekalahan itu sekali lagi memberikan tekanan buat penyokong.
BACA LAGI: Tekad mahu cekau 3 mata pertama, N9, Selangor dan Perak boleh guna bintang Asia
BACA LAGI: Legenda sebenar', CEO angkat status bintang veteran Negeri Sembilan FC lepas umum bersara
Penyokong skuad Jang jelas tidak berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Keputusan mengecewakan itu sekali lagi berulang ketika mereka bertandang ke venue sama untuk pusingan pertama Piala FA dengan skuad Jang melepaskan empat gol dalam perlawanan berkenaan.
Nasib buruk sekali lagi melanda selepas Negeri Sembilan FC dikecewakan di laman sendiri kepada Kuala Lumpur (KL) City FC pada Jumaat.
Kekalahan 0-3 yang dialami menyaksikan pasukan itu terus berputih mata musim ini meskipun rombakan menyeluruh sudah dibuat terhadap struktur pengurusan pasukan.
Bagi penyokong, masalah dialami skuad Jang berpunca daripada pemilihan taktikal pengendali, Azzmi Aziz yang gagal membawa perubahan terhadap pasukan.
Dia yang hadir dengan reputasi cukup baik melihat kepada pengalaman bertahun-tahun dalam Liga Super bergelut untuk mengulangi perkara sama buat Negeri Sembilan FC.
Malah, dia juga pernah diberikan jolokan The Giant Killer kerana sering mencatatkan keputusan mengejut, baik bersama Kedah FA mahupun PDRM FC.
Azzmi Aziz memiliki reputasi cukup baik dalam arena bola sepak tempatan. — Facebook/PDRM FC
Jadi, dengan prestasi skuad Jang semakin sukar untuk dibaik pulih, majoriti penyokong mula mendesak pihak pengurusan agar merehatkan jurulatih berusia 49 tahun itu segera.
"Penyokong sahaja yang bersemangat, pemain dan pengendali semuanya tidak ada perasaan sedemikian. Buang sahajalah dia, geram betul," kata Norman Ncv.
"Wahai coach, saya sudah sehabis baik bersopan santun dan berbudi bahasa dalam memberikan komen. Tetapi, silalah letakkan jawatan dengan segera," kata Kujai Zahrin.
"Empat perlawanan, semuanya Negeri Sembilan FC kena 'lauk'. Penat macam ni, pecat sahaja jurulatih kita ini. Tak boleh pakai," kata Fa Far.
Selepas ini, skuad Jang bakal berdepan Sri Pahang FC di Stadium Temerloh, Pahang dengan misi mendapatkan tiga mata diharap mampu direalisasikan.
Jika meraih kemenangan dalam perlawanan Liga Super itu, pasukan tersebut berpeluang mendaki ke kedudukan lebih baik atau sekurang-kurangnya memberikan kelegaan buat penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram