BEBERAPA pertembungan menarik disajikan buat peminat bola sepak tanah air pada penghujung minggu ini dengan aksi Derbi Utara merupakan perlawanan tumpuan.
Pertemuan antara Penang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu boleh dikatakan amat mendebarkan melihat kepada permusuhan antara mereka di atas padang.
Meskipun kedua-dua kelab itu masih belum berada di landasan terbaik musim ini, aksi tersebut sudah tentu diharapkan mampu menjadi titik perubahan masing-masing.
BACA LAGI: Ultras Penang beri teguran ingat asal usul sokong kelab sendiri
BACA LAGI: Penang FC model terbaik jadi ikutan 4 kelab bergelut isu gaji
Aksi Derbi Utara sering menyajikan peminat dengan aksi cukup berkualiti.
Perkara berkenaan turut diakui pengendali skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain yang percaya lawan mereka itu sudah bertambah baik dan cukup bersemangat untuk perlawanan terbabit.
"Kita tahu Penang sudah berada di tahap berbeza, mereka belum dikalahkan. Semangat pasukan berada di tahap lebih tinggi dan kami perlu memberikan sepenuh tumpuan, terutamanya terhadap pemain import.
"Mereka mempunyai kebolehan untuk melakukan perbezaan. Kami tidak berdepan isu kecederaan atau penggantungan. Kami akan menentukan sama ada Ebenezer (Assifuah) atau Milos (Gordic) untuk diturunkan," katanya.
Selepas tiga perlawanan, KDA FC menduduki tangga ke-11 tanpa sebarang kutipan mata selepas mereka didenda berikutan masalah gaji dialami musim lalu.
Dalam pada itu, ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, kemenangan mereka ke atas Sri Pahang FC dalam saingan Piala FA pada 14 Jun lalu merupakan tonik terbaik buat anak-anak buahnya.
"Motivasi pasukan ini sudah bertambah baik selepas kita mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA. Kedah memiliki pemain tempatan dan import yang hebat, tetapi kami akan mempamerkan persembahan terbaik," katanya.
Tiga keputusan seri berturut-turut dalam Liga Super meletakkan skuad Harimau Kumbang di kedudukan ketujuh dengan prestasi itu sudah tentu diharapkan mampu ditambah baik.
Kepulangan penyerang import Brazil, Rodrigo Dias diharapkan mampu membantu Penang FC dalam aksi derbi itu meskipun pemain tersebut masih belum mencatatkan sebarang jaringan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram