[VIDEO] 'Chant' khas Faisal Halim letak Mickey sebaris ikon Indonesia di Selangor, Kedah


  • Podium
  • Ahad, 16 Jun 2024

Tangkap layar video Faisal Halim hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Selangor dan Negeri Sembilan.

BINTANG Selangor FC, Faisal Halim muncul buat kali kedua di khalayak umum apabila hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Faisal pada Khamis tampil buat kali pertama dalam sidang media bagi memaklumkan perkembangan terbaharunya selepas dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di Shah Alam pada 25 Mei.

Kehadirannya pada aksi perlawanan Piala FA menyaksikan Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) nyata memberi semangat yang luar biasa buat pasukan The Red Giants.

BACA LAGI: [VIDEO] Piala FA: Penalti tak direstui, fans TBG berang ditunjuk jalan keluar terlalu awal

BACA LAGI: 'Faisal Halim bukan manusia biasa tapi seperti singa'

Faisal yang masih menjalani pemulihan akibat disimbah asid pada 5 Mei lalu hadir di Stadium MBPJ sambil ditemani keluarganya menyaksikan Gergasi Merah berjaya meraih slot ke suku akhir.

Dalam aksi tersebut, Selangor memanfaatkan beraksi di laman sendiri dengan meraih kemenangan 4-0 menerusi jaringan Yohandry Orozco dan Alvin Fortes yang masing-masing mencetak dua gol.

Menariknya aksi tersebut, penyokong Gergasi Merah tidak ketinggalan menghargai kehadiran Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey itu ke stadium.

Malah, nama Faisal dengan sorakan 'Ohh Faisal Halim, Faisal Halim, Faisal Halim turut berkumandang usai perlawanan tersebut.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman X, @adelkamall memaparkan ultras Selangor sempat menyanyikan lagu sorakan kepada bintang Harimau Malaya itu.

Menurutnya, kali terakhir 'chant' sebegitu adalah untuk bekas pemain Selangor, Andik Vermansyah.

"Kali terakhir ultras Selangor 'chant' khas player adalah untuk Andik Vermanshah. Lepas tu tak pernah," katanya di X.

Selain menabur bakti bersama Selangor FC, Andik pernah berkhidmat selama semusim buat kelab gergasi tanah air iaitu Kedah Darul Aman FC pada musim 2018.

Bukan itu sahaja, menjengah ruangan komen, ramai penyokong turut memberi kata-kata semangat bahawa mereka sentiasa memberi sokongan kepada Mickey untuk kembali berbisa di atas padang.

"Insya-ALLAH, Mickey akan kembali berbisa di atas padang selepas ini, semoga Mickey terus tabah," kata Mohammad Faiz.

"Speedy recovery Mickey, semoga dapat tengok Mickey kembali ke padang, Insya-ALLAH," kata Mohd Wazeer.

"Ramai sayang awal Mickey, comeback stronger, fans yakin awak akan kembali berbisa di padang," kata Ahmad Irham. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram