TFC ada peluang layak ke semi lawan Selangor atau Kuching walaupun peningkatan game kurang ketara


  • Podium
  • Ahad, 16 Jun 2024

Skuad Sang Penyu berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menundukkan Perak FC dalam pusingan 16 pada Jumaat. — Facebook/Terengganufc

TERENGGANU FC (TFC) meraih slot ke suku akhir Piala FA 2024 selepas berhempas-pulas menundukkan Perak FC 2-1 pada pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Jumaat.

Dalam aksi tersebut, meskipun Perak FC mendahului menerusi Luiz Henrique Motta pada minit keenam, kesilapan benteng pertahanan menyaksikan gawang skuad The Bos Gaurus (TBG) mudah ditembusi.

Sepakan penalti daripada Safawi Rasid dan rembatan luar kotak Marin Pilj memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah sekali gus membantu Sang Penyu mara ke suku akhir Piala FA.

BACA LAGI: Habib Haroon dinasihat 'berehat' aksi derbi Utara

BACA LAGI: [VIDEO] 'Chant' khas Faisal Halim letak Mickey sebaris ikon Indonesia di Selangor, Kedah

WhatsApp Image 2024-06-16 at 21.05.32

Sabah FC meraih slot ke suku akhir Piala FA selepas membelasah KL Rovers dalam pusingan 16. Facebook/Sabahfc

Kemenangan di hadapan penyokong sendiri itu menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bakal berjumpa Sabah FC di suku akhir Piala FA selepas meraih kemenangan 7-0 ke atas wakil dari Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers pada Sabtu.

Meskipun begitu, ramai penyokong TFC menyuarakan pandangan mereka mengenai prestasi kurang cemerlang yang ditampilkan oleh skuad Sang Penyu pada babak pertama aksi berdepan Perak.

Ia berikutan selepas anak-anak buah Steinbruckner itu bermula sangat perlahan pada masa pertama sehinggakan Perak mampu menembusi pintu gawang TFC seawal minit keenam.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, legenda Terengganu, Che Ku Marzuki berpendapat bahawa Sang Penyu tidak mempunyai peningkatan yang ketara dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

"Kalau melihat game ke game, Terengganu tidaklah ada peningkatan yang begitu sangat baik.

"TFC sentiasa bermula dengan pergerakan perlahan first half tapi masa kedua barulah nampak fast game," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, kehadiran beberapa pemain Harimau Malaya seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Safwan Mazlan dalam skuad itu memberi impak yang positif.

"TFC mempunyai kelebihan apabila terdapat pemain yang dipanggil pasukan kebangsaan sebelum ini dilihat membantu mereka memberi keyakinan kepada pasukan.

"Tidak lupa juga kepada pemain simpanan yang dimasukkan, mereka mampu menggalas tugas dengan baik," ujarnya lagi.

Ditanya mengenai peluang Terengganu untuk mara ke pusingan seterusnya, Che Ku berkata, dia melihat bahawa Sang Penyu akan layak ke semi final nanti.

"Jika menilai kepada prestasi, kemungkinan TFC mempunyai peluang untuk layak ke semi final," katanya.

Sekiranya Terengganu mara ke semi final, skuad itu akan berjumpa dengan pemenang antara Selangor FC ataupun Kuching City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram