JODOH pemenang anugerah Kasut Emas Liga Super musim 2023, Ayron Del Valle tidak bertahan lama bersama pasukannya baharunya, Always Ready apabila dikhabarkan akan mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Bolivia itu serta-merta.
Menerusi hantaran dari pemerhati sukan luar negara, Mariano Olsen memaklumkan bahawa penyerang berusia 35 tahun berkenaan membuat keputusan untuk menamatkan kontrak bersama Always Ready selepas hampir lima bulan berkhidmat.
BACA LAGI: Selangor kekalkan 2 import projek naturalisasi, tapi fans masih tagih khidmat Ayron del Valle
BACA LAGI: Dari benci jadi sayang, fans Selangor mahu Ayron del Valle kekal beraksi musim depan
"Ayron Del Valle baru sahaja menamatkan kontraknya dengan kelab Always Ready.
"Penyerang berusia 35 tahun itu bermain 21 perlawanan dengan empat gol untuk pasukan Bolivia itu. Kini dia bebas untuk menyertai mana-mana pasukan," tulis pemerhati sukan berkenaan di laman X.
Keputusan pemain kelahiran Colombia itu untuk meninggalkan Always Ready hakikatnya menjadi berita gembira buat penyokong tempatan kerana ia dianggap sebagai pintu untuk merekrutnya.
Walaupun hanya satu musim bersama Selangor namun aksi atas padang Ayron meninggalkan impak positif buat penyokong lagi-lagi dari segi aspek penyudahnya bersama Gergasi Merah pada musim lalu.
Sepanjang 31 perlawanan domestik Ayron diturunkan bersama Selangor, penyerang berketinggian 1.75 meter berkenaan telah mengumpul 24 jaringan gol dan lima bantuan jaringan.
Bukan itu sahaja, persefahaman Ayron dengan pemain serangan lain seperti Faisal Halim rakannya di bahagian sayap dilihat cukup baik terutama ketika memasuki penghujung musim lalu.
Oleh itu, tidak hairan jika penyokong kelab Liga Super lain dah bahkan pihak pengurusan mereka akan melihat keputusan Ayron sebagai satu peluang keemasan untuk mendapatkan penyerang berkualiti berkenaan.
Pasukan seperti Perak FC dan Penang FC berpotensi menjadi dua pasukan teratas untuk merekrut Ayron pada jendela perpindahan Ogos nanti susulan penyerang import mereka iaitu Clayton serta Rodrigo Dias masih belum membuka akaun gol peribadi.
Meskipun segelintir penyokong Gergasi Merah menharapkan agar Ayron kembali ke pangkuan mereka namun perkara itu mungkin tidak berlaku kerana Selangor masih boleh mengharapkan Ronnie Fernandez dan Rezqi Bani Hani di bahagian serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram